Friday, November 27, 2009

Nizar DAPberg: Pelan Peralihan MB Kelantan: BIAR PAS PUSAT PUTUSKAN

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood berpendapat perkara yang berkaitan dengan pelan peralihan bagi jawatan Menteri Besar Kelantan seharusnya diputuskan oleh kepimpinan parti.

PAS, katanya, mempunyai jawatankuasa pusat dan dewan harian untuk membincangkan perkara seperti itu.

“Seelok-eloknya buat keputusan dalam mesyuarat dengan sama-sama semua kepimpinan,” Abdul Fattah dilaporkan berkata demikian oleh Malaysian Insider.

Kenyataan Abdul Fattah itu adalah susulan daripada timbulnya permintaan supaya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamakan penggantinya bagi memudahkan proses peralihan jawatan sekiranya beliau mengundurkan diri nanti.

Isnin lalu, syor itu dikemukakan oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Syor itu disambut oleh Nik Aziz dengan kenyataan yang membayangkan beliau sudah memiliki barisan pelapis yang bakal menggantikannya. Bagaimanapun Mursyidul Am PAS itu enggan membayangkan nama bakal penggantinya itu.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa awal-awal lagi menegaskan beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan untuk menggantikan Nik Aziz.

Bagi Husam, jawatan itu lebih layak disandang oleh Timbalan Pesuruhjaya I, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

Nik Amar, yang juga merupakan calon favorite menggantikan Nik Aziz turut memberikan pandangan yang senada dengan Husam.

Bagaimanapun kenyataan yang dibuat oleh Abdul Fattah membayangkan bahawa proses peralihan kuasa itu tidaklah sepenuhnya terletak pada PAS negeri, sebaliknya tertakluk pada kata putus oleh PAS pusat.

0 comments: