Wednesday, August 19, 2009

NIZAR! MAKHLUK ANIH MENJELANG KIAMAT....


SETENGAH abad lalu, ketika teman di zaman kanak-kanak, kami sering diceritakan kisah-kisah Nabi atau kisah yang berunsurkan agama (Islam). Cerita-cerita disampaikan oleh seorang Tok Alim (Haji Arshad) yang suka berdamping dengan kanak-kanak, sebelum solat Jumaat di masjid.


Beliau mengambil satu sudut di perkarangan masjid untuk bercerita. Kanak-kanak yang belum baligh duduk di sekeliling beliau mendengar ceritanya dengan penuh minat. Biasanya satu jam sebelum waktu solat, beliau sudah mula mengambil tempat untuk bercerita.


Antara banyak cerita yang pernah teman dengar dan masih ingat sampai sekarang ialah mengenai keadaan dunia dan manusia seluruhnya menjelang hari kiamat. Ada banyak peringkat keadaannya. Bermula dari tanda-tanda dunia nak kiamat hinggalah ke hari kiamat itu sendiri. Semuanya di ceritakan Haji Arshad sambung-bersambung dari satu Jumaat ke satu Jumaat.


Salah satu cerita, beliau mengisahkan bagaimana ketika hari kiamat hampir tiba, sejenis makhluk (menyerupai binatang) akan muncul di muka bumi memberitahu manusia siapa yang masuk syurga dan siapa pula yang masuk neraka.

Ketika itu manusia dalam keadaan panik, berlarian tak tentu hala kerana dunia bergoncang dan gunung-ganang berterbangan. Masing-masing ingin menyelamatkan diri tanpa menghiraukan orang lain, waima keluarga sendiri.

Sehingga ke hari ini teman tak tahu sama ada cerita ini benar atau sekadar cerita dongeng yang disampaikan oleh Tok Alim berkenaan untuk melalikan kanak-kanak yang datang ke masjid supaya jangan berbuat bising dan bermain-main di kawasan masjid sebelum solat Jumaat bermula.


Teman teringatkan cerita ini ketika membaca berita dan komen para bloger mengenai dakwaan Tok Guru Nik Aziz yang mengklasifikasikan manusia mana yang masuk syurga dan manusia mana yang tidak (ke neraka le maksudnya).

Terfikir di fikiran teman apakah zaman yang dimaksudkan oleh Tok Alim Haji Arshad itu telah sampai? Dan adakah Nik Aziz Nik Mat adalah makhluk yang dimaksudkan dalam cerita berkenaan?

Seingat teman makhluk yang dimaksudkan itu bukannya manusia. Ianya berupa sejenis haiwan yang boleh berkomunikasi dengan manusia dalam apa jua bahasa. Dan ianya juga mampu bergerak dengan pantas untuk menjelajah seluruh pelusuk dunia.


Teman tempel persoalan ini kepada kekawan yang mungkin pernah mendengar cerita yang lebih kurang sama maksudnya dengan cerita yang pernah teman dengar itu. Kalau ada eloklah kita kongsi bersama dalam menilai petua Mursyidul Am Pas yang seolah-olah begitu mutlak sifatnya dan tidak boleh dibantah oleh sesiapa, walaupun mereka juga bergelar ulama atau Tok Guru atau Tok Alim atau Tuan Guru atau Kiyai.


Oleh kerana Nik Aziz ramai pengikut dan nakhoda kepada parti politik berjenama Islam – Pas, maka apa jua petua yang diluahkannya menjadi perhatian umum. Kalau sekadar jadi perhatian umum sahaja tak mengapa tetapi, ianya sering jadi polemik yang menimbulkan kecelaruan dan kekeliruan mengenai ajaran Islam di negara ini.

Petua-petua baru Nik Aziz biasanya hanya terpacul keluar menjelang sesuatu pilihan raya. Tak kira sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Lagi banyak dan lagi kerap pilihan raya di adakan, semakin banyaklah petua pelik diluahkan oleh Nik Aziz.


Sanasinigitugini: Masih tertanya-tanya adakah kiamat dunia sudah begitu dekat masanya dan adakah Nik Aziz Nik Mat adalah makhluk yang dimaksudkan dalam cerita yang pernah didengar di zaman kanak-kanak dahulu? Atau adakah kiamat politik sedang menghampiri Nik Aziz Nik Mat?

1 comments:

eXception said...

Nik Aziz, ingatlah hang tu ibarat kubur kata mari, rumah kata blah la hang...

eXception - Bukan Sekadar Blog Picisan