KUALA LUMPUR: Dasar kewangan yang diwujudkan perlu memberi tumpuan kepada rakyat dan tidak sewajarnya disediakan untuk pelabur dan pengurus wang saja, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari ini.
Baginda bertitah, pada permulaan krisis kewangan global semasa, terdapat perbezaan antara kepentingan golongan pelabur dan orang biasa, tetapi Asia tidak boleh mempunyai dua versi berkenaan.
"Pembuat dasar tidak boleh memenuhi keperluan golongan elit dan mengetepikan orang biasa yang bersusah payah mencari rezeki," titah Raja Nazrin, yang juga duta kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.
Baginda bertitah demikian dalam ucaptama pada Persidangan Bersama Bank Pembangunan Asia-Bank Negara Malaysia-Suruhanjaya Eropah yang bertemakan "Melangkaui Krisis Global: Model Pertumbuhan Baru Asia?", yang berlangsung di sini.
Raja Nazrin bertitah, tahap kemelesetan telah sampai pada penghujungnya dan pemulihan bermula pada yang masa tepat.
"Tetapi apa yang perlu dilakukan selepas krisis global? Adakah perlu diteruskan seperti biasa? Atau adakah kita perlu melakukannya secara yang berlainan?" titah baginda.
Baginda bertitah, dasar dan perancangan perlu dirangka secara berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam jaminan yang palsu dan bahaya.
"Jumlah wang yang amat besar yang diwujudkan bagi menangani masalah kemelesetan perlu dineutralkan atau akan memberi masalah daripada satu penyelesaian," katanya.
Dengan mengharapkan perkara yang buruk kini telah berlalu, Raja Nazrin bertitah terdapat juga keperluan "untuk sentiasa menyelidik andaian kita" serta berwaspada mengenai bahaya "kumpulan yang memikirkannya".
Pada masa sama, baginda menyeru Asia supaya mendapatkan sumber pertumbuhan alternatif selain pertumbuhan yang dipacu oleh eksport.
"Pasaran eksport tradisional Asia di Barat lemah dan bersedia untuk berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam masa beberapa tahun akan datang kerana imbangan kewangan dan fiskal pulih secara beransur-ansur," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, tekanan dan dasar perlindungan yang semakin bertambah juga mengancam untuk menyekat perdagangan dan pelaburan memandangkan kerajaan mahu memenuhi kehendak domestik dan peningkatan dalam persaingan juga tinggi setelah banyak lagi negara dan rantau yang mahu setanding dengan pengeksport.
Bagaimanapun, baginda mengingatkan mengenai wujud gelombang baru pesimisme eksport.
"Ia baik dan sesuai untuk bercakap mengenai pemisahan gandingan sumber global pertumbuhan makroekonomi. Ini akan mewujudkan kestabilan yang amat diperlukan.
"Tetapi kita perlu bertanya kepada diri kita: Adakah ada di antara kita mahu melihat pemisahan gandingan di kalangan ekonomi kita, hubungan yang mengambil masa yang lama untuk dibina?" - Bernama
0 comments:
Post a Comment