Thursday, April 8, 2010

Janganlah Keselamatan Negara Jadi Bahan Politik!

BOLEHKAH rakyat Malaysia percaya apa yang didakwa oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mengaitkan penglibatan syarikat Israel dalam pengendalian projek berkaitan keselamatan dan komunikasi serta teknologi maklumat di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman?

Beberapa hari lalu, rakyat seluruh negara sudah mendengar dan membaca pendedahan rakan-rakan karib Anwar dalam Parti Keadilan Rakyat yang mendedahkan pembohongan Anwar tentang misi 16 September 2008 serta propaganda memburuk-burukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kelmarin di Dewan Rakyat, Anwar bercakap soal ejen Israel sudah masuk dalam Jabatan Polis. Boleh percayakah kita dengan dakwaan dan cerita Anwar yang cukup licik memutar-belitkan fakta?

Sebelum kita mempercayai dakwaan Anwar itu, cuba semua rakyat Malaysia merenung kembali dakwaan-dakwaan beliau sejak dipecat daripada UMNO dan Kabinet pada September 1998.

Kita belum lupa terhadap dakwaan kononnya beliau diracun arsenik ketika berada di Penjara Sungai Buloh. Sebaliknya dipaparkan di dalam surat khabar, beliau seronok menjamu selera dengan menu makanan istimewa yang tidak diberi kepada mana-mana banduan lain.

Ketika laporan perbuatan liwat Anwar ke atas bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dibuat di balai polis pada Jun 2008, Anwar bersembunyi di Kedutaan Turki konon ada pihak hendak membunuhnya.

Banyak lagi dakwaan yang dibuat Anwar yang lebih menuju supaya rakyat percaya dan bersimpati dengannya. Begitu juga banyaknya tohmahan dilemparkan Anwar kepada pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional.

Biarpun pelbagai taktik dan dakwaan dibuat oleh Anwar, sebagai kerajaan yang tidak mahu rakyat membuat andaian yang salah, banyak tuduhannya dibuat siasatan rapi dan banyak juga masa terbuang untuk melayan tuduhannya.

Anwar memang ramai rakan termasuk dari luar negara. Mungkin maklumat tentang kewujudan perisik Israel yang bertugas di Bukit Aman itu diperolehnya daripada rakan-rakannya itu.

Sebagai warga Malaysia, beliau perlu bertanggungjawab untuk mengesahkan dakwaannya itu dengan tampil memberi bukti kepada Ketua Polis Negara.

Janganlah soal keselamatan negara ini pun hendak dijadikan bahan politik.
Dakwaan Anwar itu cukup berat dan tidak boleh dicanang di dalam Dewan Rakyat dan pentas ceramah politik sahaja.

Sebagaimana cabaran Tan Sri Musa Hassan kepada Ketua Pembangkang itu maka Anwar mesti mengemukakan bukti dengan segera agar siasatan dapat dijalankan.

Selama ini pun, masyarakat kita tidak pernah mendengar khabar-khabar angin tentang cerita yang didakwa oleh Anwar itu.

Jika Anwar gagal tampil mengemukakan bukti atau sebaliknya memberi seribu satu macam dalih, beliau boleh dianggap cuba menipu Parlimen dan negara ini.

Paling utama patut ditanya kepada Anwar, apakah motif sebenar dakwaan itu dibuat? Adakah mahu Polis Diraja Malaysia berwaspada dengan musuh negara atau kerana 'dendam' beliau kepada Musa yang pernah terbabit dalam kes liwat pertamanya dahulu?

Sumber: Malaysian Instinct

0 comments: