Lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan akhirnya memohon maaf kerana menyiarkan artikel memfitnah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dihalang memasuki Amerika Syarikat kononnya namanya tersenarai dalam pangkalan data pengganas antarabangsa.
Permohonan maaf itu dinyatakan dalam edisi terbaru akhbar tersebut keluaran bertarikh 30 Mac hingga 6 April.
Bagaimanapun, Zambry ketika mengulas perkara itu menegaskan, tidak mudah untuk beliau memaafkan Suara Keadilan di atas perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.
''Saya difahamkan Suara Keadilan sudah mohon maaf dalam edisi terbarunya dan mahu menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
''Saya akan lihat dahulu dan maklumkan kepada peguam apa tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Juara Rakyat dan Jamuan Rakyat di Batu 15,
Lekir, Manjung, dekat sini hari ini.
Beliau mengulas permohonan maaf oleh Suara Keadilan dalam edisi terbaru keluaran 30 Mac hingga 6 April kerana memfitnahnya melalui artikel bertajuk Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk Ke Amerika Syarikat yang diterbitkan bagi edisi bertarikh 29 Disember 2009 hingga 5 Januari 2010.
Ekoran itu, Zambry memfailkan saman RM100 juta terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan tiga lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Februari lalu.
Zambry mengambil keputusan tersebut setelah akhbar berkenaan yang diberi peluang memohon maaf, enggan berbuat demikian.
''Saya pernah beri mereka peluang untuk meminta maaf sebelum ini tetapi dengan angkuhnya enggan mengakui kesilapan dan mahu kes tersebut diselesaikan di mahkamah," kata Zambry.
Dalam pada itu, Zambry juga melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan dua wakil rakyat bukan Islam dari pakatan pembangkang mengedarkan risalah politik di Masjid Sungai Rokam, Ipoh ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat semalam.
''Saya berada di situ dan saya beritahu tidak elok buat begitu ketika orang Islam sedang solat tetapi mereka kata mereka buat lepas solat dan di kawasan perkarangan masjid.
''Jika mereka rasa tindakan itu betul sebab mereka pun bersama orang Islam pada masa itu, biarlah masyarakat Islam menilai sendiri perbuatan mereka itu," katanya.
Sementara itu, Zambry memberitahu, beliau amat berpuas hati dengan sambutan baik terhadap program Juara Rakyat hari ini dengan kehadiran ribuan pengunjung seawal pukul 8.30 pagi lagi.
Sumber: Malaysian-Instinct
2 comments:
Bagi satu pengajaran yang buat mereka takut atau serik nak buat fitnah lagi.
berani buat berani tanggung la. Apa nak minta2 maaf. Memang puak puak ni tak pernah nak bersyukur. kerja dia fitnah fitnah. kesian mereka dan keluarga mereka...
Post a Comment