Semalam Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim dengan penuh yakin membuat kenyataan bahawa 3 Adun BN dari parti Umno akan melompat ke partinya, dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat pada jam 1.00 tengahari tadi (waktu Malaysia) dalam satu sidang media di Ipoh.
Telur tembelang PKR itu diarak serata pelosok kampung dan negeri sejak beberapa hari lalu, dijaja sehingga ke beberapa dada akhbar dan diiklankan di blog-blog pro-pembangkang. Maka bertalu-talulah panggilan dan sms (termasuk menjadi topik hangat dalam mesej Blackberry) yang saya terima bertanyakan perkara itu.
Seperti yang saya jangka, itu semua adalah mainan politik murahan sebuah parti politik yang semakin muflis isu dan idea, bertujuan mahu mewujudkan suasana tidak keruan terhadap politik Negeri Perak. Idea bobrok dan tidak berasas ini timbul dari perasaan hasad dengki melihat suasana politik Negeri Perak yang semakin damai sejak Mahkamah Tinggi menolak rayuan Nizar Jamaluddin untuk mengisytiharkan perlantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah.
Ketika jari-jari saya mengetuk butang-butang laptop di tengah malam ini, saya masih ternanti-nanti jika ada panggilan atau sms kecemasan memberi tahu Adun-Adun BN yang didakwa mahu melompat itu sudahpun berbuat demikian. Penantian saya rasanya terlalu panjang, sejak jam 1.00 tengahari tadi lagi.
Kira-kira jam 2.45 petang tadi seorang wartawan dari akhbar Sinar Harian menelefon saya untuk mendapatkan komen mengenai tembelang PKR yang mula membusuk ketika itu. Menurutnya, sememangnya PKR mengadakan sidang media sekitar jam 1.00 tengahari tadi di Ipoh dan berjaya menghimpunkan begitu ramai wartawan yang begitu ghairah mahu melihat wajah tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu.
Tetapi menurut wartawan itu, mereka kecewa kerana tidak ada satupun batang hidung Adun BN dalam sidang media berkenaan. Yang ada adalah batang hidung Zulkifly dan juak-juak PKRnya yang telah mengusung telur busuk itu sejak beberapa hari lalu. Zulkifly terus bersilat, tetapi nadanya semakin tidak meyakinkan para wartawan. Seluruh bilik tempat sidang media itu semakin membusuk dengan bau telur tembelang Zulkifly yang tiba-tiba pecah.
Selaku Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, saya mencabar PKR dan Zulkifly menamakan tiga Adun BN yang dikatakan mahu melompat parti itu, selain menamakan 12 Ketua Umno Bahagian yang didakwanya sudah hilang kepercayaan kepada Dr. Zambry sebagaimana yang disebutkannya kepada wartawan dalam sidang media itu. Saya beri tempuh kepada PKR dan Zulkifly sehingga detik 2359 tengah malam pada 15 Jun 2010 atau hari Selasa ini untuknya mendedahkan nama-nama itu kepada media.
Jika PKR dan Zulkifly gagal menyebutkan nama-nama yang didakwa itu sehingga waktu berkenaan, maka seluruh rakyat yang bermastautin di bumi Malaysia dan negeri bertuah Perak (termasuk ahli-ahli parti PKR) bebas untuk melebalkan parti pimpinan Anwar Ibrahim ini sebagai parti penipu, parti isu murahan, parti peliwat fakta, parti bobrok, parti muflis idea dan apa sahaja gelaran yang menggambarkan sikap tidak profesional PKR berpolitik.
Saya menanti dan akan terus menanti sehingga masa yang ditetapkan. Beranikanlah diri anda wahai Zulkifly, supaya telur yang berbau hapak itu bertukar bau kasturi.
Petikan dari blog Wangsa Setia
0 comments:
Post a Comment