IPOH: Notis oleh bekas Sepaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, memanggil persidangan dewan itu 28 Oktober ini dibuat tanpa mengikut Perintah Tetap 10 (1) DUN Perak, kata Speaker DUN Perak, Datuk R Ganesan.
Beliau berkata ini kerana Sivakumar bukan lagi seorang Speaker dan Perintah Tetap 10 (1) itu menyatakan iaitu "Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta''.
"Sivakumar menyamar sebagai Speaker dengan menggunakan kepala surat pejabat Speaker untuk mengeluarkan notis itu. Saya pun sudah tiga kali buat laporan polis berhubung tindakannya itu. Saya harap pihak polis ambil tindakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Ganesan berkata notis memanggil persidangan DUN ditandatangani oleh Setiausaha DUN Perak dan bukannya ditandatangani sendiri oleh Sivakumar yang mendakwa dirinya masih seorang Speaker.
Sivakumar mengeluarkan notis itu selepas Ganesan menghantar notis memanggil persidangan DUN Perak pada tarikh berkenaan yang merupakan persidangan kali kedua selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak pada Februari lalu.
Ganesan berkata Sivakumar masih enggan memulangkan jubah Speaker yang disimpannya walaupun selepas diminta berbuat demikian oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan ekoran itu, Setiausaha DUN Perak, Zamari Mohd Ramli telah membuat satu laporan polis semalam. - Bernama
0 comments:
Post a Comment