Seperti biasa, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Ipoh semalam berlangsung dalam suasana kecoh berikutan tindakan kurang sopan wakil-wakil rakyat pembangkang.
Namun berbeza dengan dua sidang sebelum ini, kekecohan yang cuba dicetuskan oleh pembangkang kali ini ternyata gagal.
Gagal kerana mereka bukan sahaja tidak berjaya mengheret rakyat mengadakan demonstrasi untuk mempertikaikan kerajaan negeri sedia ada malah, sedikit pun tidak menggugat 'kekuatan' emosi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang bersidang.
Kekecewaan jelas tergambar di wajah mereka apabila provokasi-provokasi yang dilakukan hanya memakan diri sendiri.
Akhirnya, tanpa disuruh, dengan perlahan-lahan mengambil beg masing-masing, berjalan keluar Dewan secara beramai-ramai.
Sikap yang ditunjukkan oleh wakil rakyat pembangkang ini hakikatnya jelas hanya mempermainkan hasrat dan harapan rakyat.
Dalam hal ini DUN bukanlah tempat untuk menunjuk lagak atau lakonan hebat, sebaliknya tempat menentukan nasib rakyat.
Rakyat mengundi mereka dengan harapan setinggi gunung agar dapat bersama-sama membantu menggapai bintang-bintang di langit.
Malangnya semakin hari semakin jelas bahawa bintang-bintang yang diharap bukan sahaja kian menjauh malah bertambah kelam.
Dengan sikap dan perangai yang dipertontonkan sejak pembangkang kehilangan kuasa di Perak, apakah ada lagi harapan rakyat yang menggunung ini?
Tiada salahnya tugas pembangkang kerana itu adalah saluran terbaik untuk menjadi pengimbang kepada kerajaan sedia ada.
Malangnya, peranan murni pembangkang ini tidak difahami oleh kebanyakan wakil rakyat pembangkang itu sendiri.
Akhirnya, jadilah apa yang disaksikan semalam apabila pembangkang hanya tahu membangkang sehingga kewarasan berfikir dan matlamat asal menjadi wakil rakyat semakin terpinggir.
Sedarlah bahawa rakyat bukan bodoh sepanjang masa. Mereka juga bukan penonton yang setia. Jika sikap pembangkang berterusan begini, tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada mereka.
Maka, jangan salahkan sesiapa jika suatu masa nanti kewujudan pembangkang di negara ini hanyalah dilihat sebagai 'badut-badut' yang hakikatnya tidak mampu memperjuangkan apa-apa pun.
Sementara itu, seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya menarik semula gelaran yang dikurniakan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan).
Datuk Shaarani Mohamad (BN-Rungkup) berkata, tindakan itu wajar memandangkan kedua-dua pemimpin tersebut tidak menghormati keputusan baginda memperkenankan pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Speaker, Datuk R. Ganesan.
''Saya berasa tersinggung dengan pendedahan oleh ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Hulu. Saya cadangkan supaya Dewan mempersembahkan perkara ini kepada tuanku," katanya mencelah perbahasan usul ucapan tahniah dan menjunjung kasih atas titah ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada Persidangan DUN hari ini.
Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) yang membahaskan usul tersebut menyentuh tentang sikap biadab pembangkang yang tidak menghormati keputusan Sultan Perak berhubung pelantikan Zambry dan Ganesan.
Terdahulu, Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Kubu Gajah) berkata, kerajaan negeri akan terus mengutamakan pembelaan terhadap nasib ibu-ibu tunggal di Perak.
''Bagi membantu ibu-ibu tunggal di Perak, kerajaan negeri telah menyediakan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran untuk golongan terbabit. Kita mahu memperkasa kemahiran ibu-ibu tunggal," katanya.
Hamidah juga menekankan bahawa nasib ibu-ibu tunggal di negeri ini akan lebih terbela sekiranya mendapat kerjasama semua pihak.
Pada masa yang sama, pembangkang di Perak terus memperlihatkan sikap kebudak-budakan apabila hari ini mempamerkan poster 'pencuri' 'penyamun' 'perompak' dan 'world is watching' (dunia sedang memerhati) ketika Dewan sedang bersidang.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalung, Leong Mee Meng bertindak lebih berani dan angkuh dengan menunjukkan logo menghina UMNO.
Tindakan itu telah menaikkan kemarahan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meminta Speaker, Datuk R. Ganesan mengusir wakil rakyat terbabit keluar Dewan.
''Saya beri amaran jangan tunjukkan gambar UMNO dalam Dewan ini, jangan biadab. Saya minta Speaker ambil tindakan. 'Kick out' (usir) Jalong dari Dewan," tegasnya.
Bagaimanapun tiada tindakan diambil ke atas wakil rakyat tersebut.
Terdahulu, kekecohan berlaku apabila ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming mempertikaikan pelantikan Ganesan sebagai Speaker yang sah sebaik sahaja doa dibacakan pada pukul 10 pagi.
Kor Ming dengan lantang menuduh Ganesan sebagai Speaker ciplak dan tindakannya itu mendapat sokongan terutama ADUN Setiawan,
Datuk Ngeh Koo Ham; ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan ADUN Tronoh (V. Sivakumar).
Bagaimanapun, kesemua 31 ADUN BN termasuk tiga wakil rakyat Bebas serentak menyatakan kepercayaan mereka kepada Ganesan dengan berdiri dan mengangkat tangan.
Tanpa mempedulikan tindakan Kor Ming dan ADUN pembangkang lain, Ganesan terus mengumumkan sidang bermula dan membacakan peraturan-peraturan serta larangan untuk dipatuhi di dalam Dewan.
Keadaan bertambah kecoh apabila barisan wakil rakyat pembangkang terus membuat bising dan bangun mempertikaikan kedudukan Ganesan.
Kekecohan berlanjutan pada sesi soalan lisan bermula namun, wakil rakyat BN tetap di tempat masing-masing dan meneruskan sidang.
Menteri Besar Perak yang juga ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tenang menjawab soalan-soalan dikemukakan.
Ketika ini, pembangkang terus membuat bising sambil mengangkat buku Perintah-perintah Tetap dan menunjukkannya ke arah Zambry.
Pada masa sama, wakil pembangkang Tai Sing Ng (PKR-Kuala Sepetang) dan Chang Lih Kang (PKR-Teja) pula enggan bangun mengemukakan soalan lisan apabila tiba giliran mereka.
Dalam pada itu, Yee Seu Kai (DAP-Pokok Assam) bangun tetapi menyentuh perkara yang tiada kaitan dengan soalan bertulis, menyebabkan Ganesan mengarahkan ADUN BN mengemukakan soalan seterusnya.
Melihat reaksi bersahaja wakil rakyat BN, mendorong Sivakumar bangun menunjukkan karikatur ular ketika tiba giliran Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman menjawab soalan.
Mohd. Tajol menarik perhatian apabila menyindir tingkah laku pembangkang tersebut mampu memajukan industri pelancongan Perak.
Pembangkang terus menganggu perjalanan sidang ketika sesi pembentangan usul Rang Undang-undang Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (pindaan 2010) oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari.
Kemuncak kekecohan sidang DUN Perak ialah apabila kesemua 28 wakil rakyat pembangkang berlegar-legar di dalam Dewan sebelum keluar pada pukul 11 pagi.
Sidang kemudiannya diteruskan dengan meluluskan Rang Undang- undang Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (pindaan 2010) dan lima usul tanpa penglibatan wakil pembangkang.
Usul tersebut ialah pelantikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri Perak, Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap Negeri Perak, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri Perak, pembelian saham Axiata Group Berhad dan usul ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Sumber: Malaysian Instinct
2 comments:
DAP bertindak bodoh sekali di DUN Perak. Rakyat Perak akan menjadi sangsi apakah DAP dan PAS boleh membela nasib rakyat dgn berkelakuan bodoh spt ini?
taupun diorang "world is watching".megahlah diorang tu dengan perangai mcm tu. Macam "G..P..G". perangai yang tak pernah dibuat dek orang!!!
apa punya wakil yang korang pilih yop!!
muyun
Post a Comment