DALAM pertemuan dengan dua pemimpin muda yang mewakili UMNO dan Pas baru-baru ini, perbincangan berkisar kepada soal usaha ke arah jalinan kerjasama antara kedua-dua parti dalam isu sosial, ekonomi dan pendidikan.
Banyak yang diperkatakan. Ada yang boleh dizahirkan di atas kertas, ada juga sekadar untuk pengetahuan dan perbincangan. Rumusannya, baik di pihak Pemuda UMNO mahupun Pemuda Pas, kedua-duanya berlapang dada dan bersedia untuk membentuk kerjasama dalam isu-isu yang tidak berbaur politik.
Mereka percaya masih ada ruang dan peluang untuk kedua-dua parti terutamanya di pihak generasi muda untuk membina kerjasama seumpama itu. Masing-masing sepakat bahawa politik benci-membenci, sakit-menyakiti dan saling berdendam mesti diakhiri demi kebaikan ummah yang kini tenat moralnya.
Namun, di sebalik kesediaan itu, ada syarat yang mengikat kedua-duanya - UMNO menjadikan agenda Melayu dan Islam sebagai platform pertemuan, manakala Pas mahu Islam melandasi kerjasama yang bakal dijalin.
Perkara yang sama ditegaskan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kedua-dua perkataan itu - Melayu dan Islam - disebut berkali-kali setiap kali tuntutan kerjasama di antara Pas dan UMNO sebagai parti terbesar menaungi orang Melayu beragama Islam berkumandang.
Baik tuntutan itu berupa kerjasama politik yang pernah disuarakan sedikit masa dulu atas nama kerajaan perpaduan mahu pun kerjasama dalam isu sosial seperti yang mahu dijadikan agenda sekarang ini.
Perkembangan terbaru menyaksikan keengganan Mursyidul Am Pas bertemu Muhyiddin yang telah pun bersedia berbuat demikian atas alasan pertemuan yang hendak dijalin mestilah atas nama Islam. Nik Aziz tidak mahu bertemu atas kepentingan politik.
Muncul pula alasan terbaru - pertemuan tidak akan berlangsung selagi isu-isu yang melatari 'persengketaan' antara kedua-dua parti seperti royalti minyak di Kelantan tidak diselesaikan. Ke mana arah tuju kerjasama yang diusulkan atau itu hanya fantasi golongan yang mahu melihat UMNO dan Pas bekerjasama walaupun tidak bergabung atas nama politik.
Sememangnya agenda pertemuan yang disebut-sebut mutakhir ini tidak berkisar kepada kerjasama politik. Fakta itu telah ditekankan di peringkat awal perihal kerjasama UMNO-Pas diusulkan. Namun egois politik yang tidak pernah berkesudahan mengakhiri episod baru yang belum pun sampai sebulan diselak.
Lebih mendukacitakan kononnya usul itu ditimbulkan kerana Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga memerlukan kerjasama dengan Pas dibentuk.
Mengapa niat asal bekerjasama untuk menangani isu-isu sosial dikaitkan dengan lemah atau kuatnya BN. Bukankah ia prejudis dan mengundang kemarahan seterusnya memanjangkan parut akibat permusuhan lama yang kesannya tidak akan hilang? Sangat jelas gejala sosial di kalangan anak-anak Melayu kini melimpah pada paras yang amat membimbangkan. Apatah lagi kerosakan anak-anak muda Melayu turut menjadi igauan ngeri di negeri yang dinaungi Pas sejak lebih 20 tahun lalu. Siapa kata Kelantan yang menjadikan Islam sebagai tampuk pemerintahan bebas daripada gejala sosial. Cuba hitung kes buang bayi di negeri itu, juga kes tangkapan khalwat, lorong-lorong suram dan jenayah yang sememangnya sangat membimbangkan. Bukankah mereka (baik di Serambi Mekah mahu pun di negeri mana sekali pun) adalah anak-anak Melayu beragama Islam?
Takrif
Hakikatnya Melayu dan Islam memang tidak dapat dipisahkan. Perlembagaan negara secara jelas dan nyata mentakrifkan istilah Melayu sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu.
Perkara 160(2) amat jelas menunjukkan betapa Melayu dan Islam sememangnya saling kait mengait dan selamanya tidak dapat dipisahkan dalam konteks negara yang bernama Malaysia.
Sebab itu apabila yang satu mahu Melayu dan Islam, manakala yang satu lagi mahu Islam menjadi platform timbul tanya mengapa ia jadi begitu.
Pernah dibangkitkan apakah Melayu dalam UMNO sangat tidak Islam manakala Melayu dalam Pas sangat Islam maka wujud pertentangan antara kedua-duanya untuk bekerjasama.
Adakah Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sangat Islam, DAP sangat toleransi dengan Islam maka begitu mudah kerjasama dijalin?
Justeru setiap kali memperkatakan perihal kerjasama antara UMNO dan Pas demi perpaduan ummah maka soal Melayu dan Islam dijadikan sandaran dan cagaran.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz ketika ditanya tentang kemelut UMNO dan Pas berhubung konsep Melayu dan Islam bersetuju bahawa semacam wujud konflik dalam melihat 'Melayu dan Islam'.
''Khalayak sering mengambil Islam sebagai elemen pertemuan kedua-dua parti politik ini. Tetapi teras utama UMNO adalah Melayu. Walaupun Islam berada sekali di dalam ungkapan Melayu tersebut, ini tidak diterima Pas. Manakala teras utama bagi Pas adalah Islam, tanpa mengehadkannya kepada Melayu. Ini tidak boleh diterima UMNO,'' katanya.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu membuat huraian, Pas sering melabelkan apa yang diperjuangkan UMNO hanyalah Melayu, bukannya Islam. Justeru Pas dan UMNO tidak bersatu suara mengenai apa yang dikatakan Islam walaupun dalam konteks undang-undang sememangnya benar bahawa Melayu dan Islam itu sama.
Mengenai sejauh mana kerjasama antara UMNO dan Pas itu boleh dibentuk dan akan menjadi kenyataan, Shamrahayu menegaskan, usaha tersebut walaupun murni namun agak sukar untuk diramalkan.
Ini kerana, menurut beliau, ia bergantung kepada banyak faktor, termasuklah misi politik dan manifesto kedua-dua parti itu. Beliau mengimbas kesepakatan atau persamaan antara UMNO dan Pas mengenai sesuatu isu sejagat berkaitan Islam seperti apa yang menimpa bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Namun, apabila bercakap mengenai Islam di negara sendiri, dalam banyak ketika kelihatan seolah-seolah tiada titik pertemuan untuk kedua-dua parti politik itu.
Ketara
''Ini kerana walaupun misi kedua-dua parti itu ada kesamaan, namun, perbezaan dari segi pendekatan kedua-duanya amat ketara,'' katanya.
Pendekatan cara menegakkan Islam sebagaimana fahaman kedua-dua belah pihak ada kalanya agak jauh berbeza dan tidak dapat diterima. Ditanya apa halangan sebenarnya bagi UMNO dan Pas untuk bekerjasama, Shamrahayu tidak nampak halangan yang menyerlah mengenai kerjasama kedua-dua parti politik itu.
''Namun, sekiranya untuk bergabung, mungkin objektif politik masing-masing tidak begitu positif . Sebagai parti politik, kedua-dua pihak mungkin mempunyai tujuan politik masing-masing,'' katanya.
Menurut beliau, bagi Pas, mungkin sejarah semasa bergabung dengan UMNO dahulu masih segar dalam lipatan ingatan dan agak sukar untuk dilunturkan. Selain itu, kenyataan Mursyidul Am Pas bahawa UMNO menolak Islam juga menjadi punca parti itu menolak usaha untuk bekerjasama bergabung. Jika dilihat kepada kenyataan tersebut, ia seolah-olah mempamerkan fahaman berbeza kedua-dua parti politik mengenai Islam. ''Mungkin ini juga boleh dikatakan halangan untuk bekerjasama. Mereka tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai apa itu Islam dan keadaan ini menyedihkan,'' ujarnya.
Perpecahan
Mengenai sejauh mana tuntutan kerjasama antara UMNO dan Pas, Shamrahayu menyorot pendapat para ulama terdahulu yang enggan mengiktiraf penubuhan parti-parti politik kerana khuatir ia menjadi sebab perpecahan umat Islam.
Katanya, mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut tetapi apa yang jelas di negara ini akibat ketaksuban politik masyarakat Islam telah berpecah dan tidak sekata hatta dalam perkara teras mengenai Islam.
Shamrahayu pasti kerjasama UMNO dan Pas amat perlu dan ia menjadi lebih efektif sekiranya gabungan berlaku.
''Saya fikir sekiranya berlaku gabungan banyak juga kecaman akan timbul daripada penyokong UMNO dan Pas kerana lipatan sejarah hubungan kedua-duanya agak tebal.
''Tetapi saya pasti, dalam politik kecaman tersebut adalah perkara biasa, umpama kecaman sesetengah pihak terhadap Pas yang sedang bergabung dengan DAP dalam pakatan pembangkang,'' katanya.
Hakikatnya biarpun ada pihak percaya jalan untuk UMNO dan Pas bekerjasama atas nama apa sekalipun telah mula terbuka namun ia tidak semudah itu. Cahaya yang menyorot laluan kerjasama itu amat samar sehingga tidak mampu membimbing kedua-duanya menemui jalan penamat. Malah bukanlah mustahil jika kerjasama serta pertemuan yang diuar-uarkan itu umpama mahu bertepuk tetapi kedua-dua tangan enggan menyambut lantaran egois politik.
Malaysia Instinct
0 comments:
Post a Comment