Thursday, October 22, 2009

Nizar DAPberg: Dr M berjaya tolak rayuan saman fitnah Anwar!

Tun Dr Mahathir Mohamad Selasa berjaya membatalkan rayuan saman fitnah bernilai RM100 juta yang difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduhnya sebagai seorang homoseksual.

Mahkamah Rayuan secara sebulat suara membenarkan permohonan Dr Mahathir dan mengarahkan Anwar membayar kos kepada bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad juga menolak permohonan Anwar untuk lanjutan tempoh masa untuk memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa Malaysia.

Abdul Malik berkata penghakiman bertulis akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

Berikutan keputusan itu, rayuan Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dijadual didengar 2 Nov ini dikeluarkan daripada senarai kes.

Bernama melaporkan kedua-dua plaintif dan defendan (Anwar dan Dr Mahathir) tidak hadir di mahkamah.

Dr Mahathir diwakili oleh peguam Datuk V.K. Lingam dan R. Thayalan manakala Karpal Singh dan S.N. Nair bertindak bagi Anwar.

Dalam hujahnya, Lingam berkata Anwar telah memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris dan bukan dalam bahasa kebangsaan dan ianya jelas mengingkari peruntukan Artkel 152 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

Beliau juga menegaskan rayuan itu cacat dan tidak sah kerana ianya tidak ditandatangan oleh peguam Anwar, Tetuan S.N.Nair & Partners, serta difailkan tanpa tarikh khusus.

Bagaimanapun, Karpal berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada untuk memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Karpal berkata walaupun memorandum rayuan itu adalah dalam bahasa Inggeris namum rayuan itu tidak lemah kerana penggunaan bahasa Inggeris tidak prejudis atau berlaku salah laksana keadilan dalam kes itu.

"Pada hakikatnya prosiding di Mahkamah Rayuan kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris," katanya.

Karpal mempersoalkan mengapa Lingam tidak menyatakan bahawa dia akan memfailkan notis usul untuk menolak rayuan itu semasa pengurusan kes pada 25 Jun lalu dan notis itu difailkan hanya 11 hari sebelum prosiding sebenar rayuan Anwar pada 2 Nov ini.

Katanya sebagai peguam profesional, Lingam seharusnya memaklumkan pihak lain dalam kes itu mengenai permohonannya.

Karpal berkata ketika Lingam menekankan penggunaan bahasa kebangsaan, dia tidak jugak meminta kebenaran mahkamah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam penghujahannya.

Lingam membalas bahawa pengurusan kes menetapkan tarikh pendengaran rayuan itu adalah dalam bahasa Inggeris dan bukan menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik peguam mengenai tindakan susulan.

Pada 4 Julai, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk menolaknya.

Berikutan itu, Anwar mengemukakan notis rayuan terhadap keputusan itu.

Pada 26 Jan 2006, Anwar memfailkan saman terhadap Dr Mahathir atas dakwaan memfitnahnya dengan memberi gambaran beliau seorang lelaki yang tidak bermoral pada satu sidang akhbar di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 9 Sept 2005.

Dalam kenyataan pembelaan, Dr Mahathir berkata beliau bergantung kepada hak keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri ketika membuat kenyataan itu.-20/10/2009

Agenda Daily

0 comments: