Thursday, October 22, 2009

Nizar DAPberg: PM tidak campur tangan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan campur tangan dalam krisis kepimpinan MCA kecuali jika diminta berbuat demikian oleh semua anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika CC sebulat suara berpendapat nasihat Perdana Menteri diperlukan untuk menyelesaikan krisis itu, baru Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan campur tangan.

“Jika kita masuk campur dan berkata ini dan itu, orang akan menganggap kita ini campur tangan, kecuali jika semua anggota CC merasakan orang yang dapat membantu ialah Perdana Menteri ataupun saya sebagai Timbalan.

“Sekiranya permintaan itu dibuat oleh CC, Perdana Menteri akan mempunyai ‘locus standi’ untuk membuat keputusan dan apapun keputusannya, kita harus terima,” katanya sewaktu sidang media di Lobi Parlimen, di sini semalam.

Muhyiddin berharap krisis kepimpinan MCA dalam menentukan pemimpin yang bakal menerajui parti diselesaikan segera memandangkan parti yang terumbang-ambing tidak akan membantu mengukuhkan BN mahupun kerajaan.

“Tentunya masyarakat Cina juga mahu melihat MCA dapat menyelesaikan masalah mereka dengan cepat kerana MCA adalah satu rakan senior dalam BN, jadi kesannya agak besar. Kalau dia tak selesai, bermakna semua orang akan rasa tak begitu menentu keadaan.

“UMNO dah buat perubahan, masalah parti komponen belum selesai akan menjadi masalah pada kita. Oleh itu, selesaikan lebih cepat lagi bagus,” katanya.

Muhyiddin berkata, dalam membuat sebarang keputusan, MCA perlu mengambilkira hasrat perwakilan daripada keputusan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) yang diadakan baru-baru ini selain untuk menjaga integriti dan maruah parti kerana MCA bukan hak individu.

“MCA bukan hak individu, bukan hak (Datuk Seri) Ong Tee Keat, (Datuk Seri Dr) Chua Soi Lek atau (Datuk Seri) Liow Tiong Lai. MCA adalah hak rakyat khususnya orang Cina. Jadi mereka ada kepentingan.

“Kita yang rakyat bukan Cina pun ada kepentingan iaitu untuk melihat MCA sebagai parti yang kuat supaya kita boleh bergerak sama-sama,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai keputusan Tee Kiat untuk terus kekal sebagai Presiden MCA walaupun kalah dalam satu undi tidak percaya.

“Saya tidak mahu menyatakan dia elok pergi, tak elok pergi. Saya fikir pemimpin MCA pun tahu apa yang harus dibuat oleh Datuk Ong Tee Keat.

“Saya sudah dengar banyak kenyataan dan saya tidak fikir sesuai untuk saya campur tangan, kerana pandangan saya nanti akan dinilai (sebagai) ini kehendak UMNO. Saya tidak mahu begitu, biarlah ini hak MCA, MCA putuskan,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau yakin bahawa pemimpin MCA semuanya bijak pandai kerana kebanyakannya bukan orang baru dalam parti mahupun kerajaan.

0 comments: