Thursday, June 18, 2009

Nik Aziz harus bertaubat!



SAMPAI bila PAS akan terus bergantung dengan DAP dan PKR dalam membuat sebarang keputusan dalaman parti itu?

Terbukti hasutan kedua-dua parti ini menyebabkan keretakan dalam PAS hingga ke pertelingkahan terbuka antara Nik Aziz Nik Mat dan anak-anak didiknya dengan kumpulan pro-Hadi Awang.

Kemuncak pertelingkahan ini ialah apabila Nik Aziz mencadangkan timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa, meletakkan jawatannya dalam parti serta ahli parlimen Bachok dan menyertai UMNO.

Ini mungkin klimaks kemarahan Nik Aziz yang diapikan oleh faktor kekalahan Husam Musa di tangan pemimpin moderate PAS itu dan kegagalan pemimpin PAS Kelantan, kecuali bekas setiausaha agungnya Kamaruddin Jaafar, dalam pemilihan parti yang baru lepas itu.

Kekecewaan Nik Aziz juga bertambah apabila Hadi melantik Mustafa Ali menggantikan tempat Kamaruddin sebagai setiausaha agung parti.

Cadangan permuafakatan Melayu yang dibawa oleh Nasharuddin hanyalah picu atau triggering point bagi Nik Aziz untuk menzahirkan kemarahan serta kekecewaannya. Nik Aziz dikenali sebagai pemimpin yang selalunya rasional, kecuali sekali-dua “tersilap kata”.

Bagaimanapun sering kali the grand old man ini dimaafkan, baik oleh PAS mahupun UMNO kerana menghormati statusnya bukan sahaja sebagai pemimpin politik tetapi sebagai “orang agama”.

Dalam sejarah politik Malaysia tidak ramai yang mempunyai imuniti dalam menyuarakan pandangan mereka.

Antara yang menikmati taraf imuniti ini dan berhak menzahirkan pandangan mereka secara terbuka ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Dr Mahathir Mohamad. Tetapi kedua-dua mereka ini adalah bekas Perdana Menteri serta mempunyai rekod yang cemerlang dalam pentadbiran negara.

Nik Aziz tersohor kerana beliau adalah di dalam kelasnya tersendiri. Nik Aziz hanya seorang Menteri Besar dan rekod kepimpinannya tidaklah secemerlang Tunku apatah lagi Dr Mahathir yang diikitiraf di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun beliau menikmati “kekebalan” ini.

Pada pandangan saya, kekecewaan Nik Aziz ini akan terus digunakan oleh DAP dan PKR bagi menghalang permuafakatan Melayu. DAP tahu kekuatan sebenar perpaduan bangsa Melayu.

Walaupun sepanjang sejarah Melayu moden, orang Melayu hanya pernah bersatu sekali sahaja, kekuatan pada perpaduan Melayu itu tidak ada tolok bandingnya. Penyatuan Melayu pada tahun 1946, memaksa Empayar British ketika itu menarik semula cadangan Malayan Unionnya.

Permuafakatan antara PAS dan UMNO juga akan mengkuburkan cita-cita Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. Sekali-gus PKR akan hilang arah-tuju perjuangannya jika ini berlaku.

Tidak hairanlah pemimpin kedua-dua parti ini memberi tentangan habis-habisan. Lim Guan Eng berserta ayahnya Lim Kit Siang dan Karpal Singh misalnya melompat-lompat mengeluarkan pelbagai kenyataan menuduh pemimpin PAS sebagai merosakkan “keakraban” hubungan dalam Pakatan.

Di pihak PKR pula Anwar menyatakan keyakinan beliau terhadap Nik Aziz untuk “menyelesaikan kemelut” itu. Beliau juga mencadangkan agar Nik Aziz berbincang dengan pemimpin-pemimpinnya dan kemelut itu akan selesai. (klik di sini)


Yang menghairankan kenapa Nik Aziz yang menyelesaikannya, dan bukan Hadi Awang? Mungkin kerana Nik Aziz menyebelahi beliau manakala Hadi tidak.

Orang kuat Anwar pula Azmin Ali, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini, pula menyifatkan permuafakatan antara PAS dan UMNO sebagai penderhakaan terhadap sokongan rakyat terhadap pakatan dalam pilihanraya lepas.

Bagaimanapun punca penentangan terhadap langkah permuafakatan ini adalah jelas iaitu ia akan menghalang cita-cita DAP, bagi merealiasasikan masyarakat Malaysian-Malaysia nya, dan bagi PKR, mematikan cita-cita untuk menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Soalnya adakah pemimpin dan ahli PAS akan merelakan parti itu digunakan oleh orang lain untuk mencapai cita-cita mereka dan menggunakannya sebagai batu loncatan semata-mata? Atau sanggupkan PAS berpecah hanya kerana kepentingan DAP dan PKR?

0 comments: