Saturday, July 25, 2009

SPRM terima maklumat - DAP semakin tertekan!


KUALA LUMPUR 24 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima maklumat mengenai sebuah laman blog yang mendedahkan dakwaan penyelewengan seorang Exco kerajaan negeri Selangor yang mempunyai kaitan dengan kematian Teoh Beng Hock.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

‘‘Saya ada dimaklumkan berhubung laman blog itu namun saya belum lagi melihatnya,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Laman blog http://www.t4tbh.blogspot.com dalam pendedahannya hari ini mendakwa berlaku penyelewengan lebih 300 projek kecil bernilai ratusan ribu ringgit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Exco berkenaan.

Dakwa laman blog itu, Exco berkenaan dikatakan telah mencipta projek, syarikat dan invois palsu bagi membolehkan mereka mengeluarkan peruntukan ADUN sebanyak RM500,000.

“Ini sebenarnya kes kecurian kerana jika rasuah, seseorang itu memperoleh duit secara haram daripada individu yang lain,” dakwa blog itu.

Antara lain, blog itu mendakwa seorang individu telah memperoleh sehingga 84 projek berlainan bernilai lebih RM200,000 secara rundingan terus bagi tahun 2008 di kawasan DUN Exco tersebut.

Penulis blog itu yang hanya mahu dikenali sebagai ‘T4TBH’ atau ‘truth for Teoh Beng Hock (kebenaran untuk Teoh Beng Hock)’ turut mendakwa mendiang telah meninggalkan salinan bukti berupa senarai lebih 300 projek kecil tersebut.

“Bagi menyelamatkan diri, Beng Hock telah membuat salinan semua dokumen, lengkap dengan nama syarikat yang mempunyai kaitan langsung dengan parti pembangkang dan Exco Selangor.

“Mendiang kemudiannya meninggalkan maklumat lengkap mengenai aktiviti penyelewengan tersebut yang disimpan di dalam cakera keras kepada seseorang,” dakwa blog itu lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah menafikan dakwaan beliau terlibat dalam aktiviti mengelapkan wang peruntukan pembangunan ADUN.

Katanya, dakwaan tersebut yang disiarkan dalam laman blog hari ini adalah tidak berasas dan satu cubaan untuk memburukkan imej beliau serta ADUN DAP di Selangor.

“Saya nak jelaskan dakwaan dalam blog mengenai saya adalah tidak benar, tidak berasas dan hanya mahu memburukkan nama saya serta ADUN pakatan pembangkang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hian Wah yang juga Exco kerajaan negeri menjelaskan mungkin ada pihak tertentu yang mahu mengenakannya dengan mengambil kesempatan atas kejadian yang menimpa Beng Hock.

Sumber: Utusan Online


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor masih meneruskan siasatan berhubung kes penyalahgunaan peruntukan negeri walaupun kelancarannya terganggu dengan kematian saksi kes Teoh Beng Hock.

Pengarah SPRM Negeri Selangor, Jaafar Mahad berkata, siasatan ke atas tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Kerajaan Negeri itu dalam kes salah guna peruntukan negeri yang disalurkan menerusi pejabat daerah Petaling terjejas berikutan pihak polis terpaksa menjalankan siasatan ke atas SPRM Selangor berikutan kematian mengejut Teoh.

Teoh, 30, Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Negeri, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam dipercayai akibat terjatuh dari bangunan yang turut menempatkan pejabat SPRM pada 16 Julai lepas.

Kejadian itu berlaku selepas Teoh dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.

"Siasatan masih dijalankan, kita (SPRM) cuma perlahankan sahaja kerana polis sedang menyiasat kes (kematian) ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jaafar berkata, pegawai-pegawai SPRM kerap kali disiasat polis, selain 'lawatan mengejut' polis ke premis suruhanjaya itu di Plaza Masalam.

"Polis juga kerap kali datang (ke pejabat SPRM)untuk membuat pemeriksaan, periksa premis, siasat pegawai-pegawai kita, ambil keterangan mereka, ambil telefon bimbit mereka. Keadaan ini menjejaskan kelancaran siasatan," katanya. Jaafar berkata, kesemua 16 pegawainya yang terlibat dalam menyiasat kes penyelewengan itu telah disoal siasat polis.

Ketika ditanya bilakah SPRM akan menyelesaikan siasatannya, beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan kerana inkues awam mengenai punca kematian Teoh, serta Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji peraturan soal siasat yang digunakan suruhanjaya itu semasa menyoalsiasat Teoh telah ditubuhkan.

Inkues kematian Teoh akan diadakan mulai Rabu ini selama 14 hari.

Jaafar berkata, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), siasatan kes-kes besar seumpama ini biasanya mengambil masa sebulan untuk diselesaikan.

"Kita tak dapat pastikan bila siasatan ini boleh diselesaikan kerana inkues dan Suruhanjaya Diraja telah ditubuhkan. Ia juga nanti akan melibatkan siasatan terhadap pegawai-pegawai saya dan ini sedikit sebanyak menjejaskan siasatan kami kerana kita tidak cukup kakitangan," katanya.

Jaafar menegaskan, pihaknya yakin bahawa pegawai-pegawainya telah mengikuti semua SOP yang ditetapkan semasa soal siasat dilakukan.

"Kita patuh dengan arahan kerajaan dan kita terima kerana kita yakin kita mengikut prosedur yang betul," katanya.

Difahamkan SPRM memulakan siasatan penyalahgunaan peruntukan tersebut selepas menerima aduan daripada pihak yang mendakwa mereka tidak menerima wang daripada peruntukan itu.

Selain Yong, enam lagi ADUN yang turut disiasat ialah Teresa Kok (DAP-Kinrara), Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan), Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya), Dr. Cheah Wing Wah (DAP-Damansara Utama), Edward Lee (DAP-Bukit Gasing) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku).

sumber - mstar

0 comments: