Friday, June 12, 2009

Titah Sultan Perak mengenai keistimewaan Melayu disokong

PANTAI REMIS: Tindakan mana-mana pihak yang mempertikaikan kuasa Yang diPertuan Agong dan Raja-raja Melayu adalah perbuatan melampau yang tidak sepatutnya timbul selepas sekian lama negara mencapai kemerdekaan dan dinaungi Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri, kata Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar.

Beliau berkata kedua-dua perlembagaan berkenaan mempunyai peruntukan yang jelas mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

"Mana boleh mana-mana pihak mempertikaikan kepentingan Melayu dan Bumiputera kerana perkara itu telah termaktub dalam perlembagaan, malah ia merupakan perkara asas dalam perlembagaan kita," katanya ketika diminta mengulas titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam bahawa sebarang gerakan mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera bukan sahaja melanggar peruntukan asas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang diPertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Hamdi berkata perlembagaan telah dibentuk hasil rundingan semua kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan dan diputuskan secara bersama sebagai menghormati hak Melayu dan bumiputera.

Beliau berkata pihak yang terus mempertikaikan kuasa itu sebenarnya ada agenda lain dan bukan dengan niat melaksanakan gagasan 1Malaysia tetapi lebih mirip kepada konsep "Malaysian Malaysia".

Pertubuhan bukan kerajaan, Gagasan Melayu Perak (GMP), pula menggesa masyarakat di negara ini menerima kenyataan Sultan Perak itu dan menyedari bahawa mereka tidak boleh mempersendakan Raja-raja Melayu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail berkata rakyat pelbagai kaum perlu faham bahawa kemerdekaan negara dicapai selepas Raja-raja Melayu bersetuju mengorbankan kuasa autonomi mereka untuk bebas daripada penjajah British.

"Kita bangga kerana Tuanku berani bersuara dan menerangkan kepada rakyat agar mengerti dan faham tentang kuasa Raja-raja Melayu di dalam perlembagaan yang telah dipersetujui awal-awal dahulu," katanya.

Mohd Hilmi berpendapat titah Sultan Perak itu tepat pada masanya kerana sudah ada kedengaran suara yang mempertikaikan kuasa raja malah ada yang mahu Malaysia menjadi sebuah republik.

Turut menyokong titah Sultan Perak ialah Dewan Pemuda Pas Perak dan Pemuda Umno Perak.

Naib Ketua Pemuda Pas Negeri Perak, Salman Saleh, berkata dewan itu menyokong saranan yang dititahkan itu kerana ia selaras dengan asas Raja Berperlembagaan yang diamalkan.

Beliau berkata Pemuda Pas akan memberikan komitmen jitu dalam usaha memahamkan seluruh rakyat mengenai asas-asas yang telah dibawa sejak merdeka lagi.

"Akibat rakuskan kuasa, sesetengah pihak sanggup menolak dan menafikan keutuhan sistem Raja Berperlembagan ini sebagai prinsip," katanya.

Ketua Pemuda Umno Perak, Maslin Shah Razman berkata negara ini ditubuhkan atas dasar kesefahaman antara kaum dengan berpegang kepada Perlembagaan yang menjadi teras penubuhan dan pembinaan negara bagi memenuhi dan melindungi hak semua kaum.

"Sebarang tindakan mempertikai kuasa Agung dan Raja Melayu merupakan tindakan yang melanggar peruntukan asas dalam perlembagaan. Seharusnya semua individu termasuk ahli politik perlu menghormati perlembagaan berkenaan dan jangan disebabkan kepentingan tertentu maka asas yang kita samasama persetujui semasa kemerdekaan negara dicapai diketepikan," katanya. BERNAMA

0 comments: