Tuesday, July 21, 2009

Polis siasat pejabat SPRM



POLIS membawa beberapa dokumen dan komputer dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam, semalam.

Kumpul bukti kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor

SHAH ALAM: Polis semalam mengambil beberapa lagi bahan bukti termasuk dokumen dan perkakasan komputer dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Plaza Masalam di sini, bagi membantu merungkai misteri kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

SPRM pula menangguhkan sementara siasatan kes salah guna peruntukan membabitkan 12 Ahli Dewan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak mengganggu siasatan polis berhubung punca kematian Teoh.

Pengarah SPRM Selangor, Jaafar Mahad, berkata pihaknya sedia bekerjasama dan memberi apa saja maklumat untuk membantu polis menyelesaikan siasatan kes itu.

"Mulai jam 8.30 malam Jumaat lalu hingga jam 6.30 pagi hari berikutnya, 16 pegawai SPRM sudah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan pada Sabtu pula, mereka (polis) datang ke pejabat kami untuk mengambil dokumen berkaitan kes salah guna peruntukan wang Adun dan Exco yang disiasat," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor tingkat 5, Plaza Masalam, Khamis lalu, beberapa jam selepas disoal siasat SPRM bagi membantu siasatan kes salah guna peruntukan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

POLIS meninjau dari tingkap pejabat SPRM di Plaza Masalam ke lokasi mayat Teoh ditemui.

Teoh, Setiausaha Politik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, dipanggil ke Pejabat SPRM pada jam 5 petang, Rabu lalu dan disoal siasat sehingga jam 3.45 pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui seorang pencuci di plaza berkenaan pada 1.30 petang.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis belum mengetepikan teori kemungkinan ada perbuatan khianat di sebalik kematian Teoh, walaupun laporan awal bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata pemeriksaan semula polis di plaza berkenaan mendapat kerjasama penuh SPRM.

Sambil tidak menolak kemungkinan polis akan melakukan lagi pemeriksaan selepas ini, beliau menjelaskan kunjungan pasukannya ke pejabat suruhanjaya itu semalam hanya sebagai lawatan semula dan bukan serbuan.

Kira-kira 10 hingga 15 pegawai makmal forensik Maktab Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras dan pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, melakukan siasatan hampir tiga jam di pejabat suruhanjaya itu di tingkat 14 plaza berkenaan, bermula kira-kira jam 5 petang semalam.

Selain Omar, Ketua Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail, turut dilihat memasuki plaza berkenaan. Bharian online

0 comments: