Tuesday, July 21, 2009

Sengketa pembangkang hanya tarik perhatian rakyat

KUALA LUMPUR - Ahli UMNO diingatkan usah mudah terpedaya lakonan pemimpin DAP, Pas dan PKR akhir-akhir ini mempamerkan wujud perselisihan faham dan perpecahan dalam gabungan tiga parti itu sedangkan ia hanya taktik raih perhatian rakyat.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, ini dapat dilihat dalam kes perobohan pusat penyembelihan babi di Taman Berjaya, Alor Setar oleh Kerajaan Kedah.

Berikutan itu, katanya, DAP negeri mengumumkan keluar pakatan pembangkang negeri itu, tetapi akhirnya menarik balik keputusan itu setelah perbincangan antara Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dari Pas dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

"Taktik bergaduh sesama mereka dapat juga dilihat di Selangor apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali baru-baru ini, mendesak Kerajaan Selangor merombak barisan Exco negeri," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Serdang di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, inilah cara digunakan pembangkang supaya rakyat tidak mempersoalkan apa yang mereka buat. Apabila terjadi perkara seperti, UMNO diminta memberi respon dan berkata:“Oh mereka adalah pakatan yang rapuh dan sudah berpecah.”

“Selepas itu masuk semula (bersatu). Kalau tak buat macam ini, mereka tak ada modal nak buat. Jadi kalau tidak pun, mereka akan salahkan BN (Barisan Nasional),” katanya.

Pada sidang media kemudiannya, beliau berkata, Pemuda UMNO kini masih menunggu maklumat lanjut dari Dewan Pemuda Pas mengenai wacana ilmiah yang dicadangkan Pemuda Pas itu.

Razali berkata, Pemuda UMNO bersetuju pelawaan itu, hanya menunggu Dewan Pemuda Pas menetapkan tarikh, masa dan tempat.

Menyentuh cadangannya supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan, Razali berkata, perkara itu bagaimanapun perlu mendapat maklum balas daripada ibu bapa pelajar terlebih dulu.

UPSR diperkenalkan pada 1987 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima dan antara mata pelajaran utama UPSR ialah Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

- Bernama

0 comments: