Saturday, February 20, 2010

Monopoli gula wujudkan empayar Robert Kuok

Oleh Kunta Kinte


MINGGU lepas Kunta Kinte cakap pasal kapitalis Cina dan India yang jadi kaya raya atas bantuan kerajaan, tapi orang Melayu tak tahu. Orang Melayu ditanam dengan pendapat yang orang Cina pandai berniaga.

Minggu ini Kunta Kinte nak cerita sikit lagi hal tauke Cina yang terkaya di negara kita walaupun dia dah lama tinggalkan Malaysia. Tauke itu adalah Robert Kuok Hock Nien 'Raja Gula'. Dalam kajian tahunan terbaru majalah Malaysian Business (16 Februari), nilai kekayaan beliau adalah RM43 bilion.

Dia dah lama pindah ke Hong Kong. Sejak dua tiga tahun ini pula, dia jual atau tarik keluar banyak pelaburan dia di Malaysia. Anak-anak dan suku sakat dia pun tak lagi rapat dengan Malaysia macam dia atau mendiang bapa dia, Kuok Keng Kang.

Kunta Kinte rasa inilah punca rizab antarabangsa kita jatuh merudum tahun lepas. Syarikat korporat dan kapitalis macam Robert Kuok, YTL, Genting, IOI dan Rimbunan Hijau banyak bawa keluar duit untuk dilabur atau disimpan di luar negara, khasnya Singapura. Tak hairanlah dah tiga empat tahun lebih banyak modal Malaysia pergi ke Singapura daripada modal Singapura datang ke Malaysia.

Dalam masa setahun hingga 15 Jun tahun lepas, simpanan asing kita jatuh RM29.1 bilion daripada RM125.8 bilion kepada RM96.7 bilion kerana pengaliran keluar ini. Empayar Kuok mula kecil-kecilan pada awal abad ke-20 bila Kuok Keng Kang berhijrah dari wilayah Fujian di Negeri China ke Tanah Melayu pada 1909.

Catatan dalam buku mengenai Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time antara lain berbunyi:

"The patriarch was Kuok Keng Kang, also from Foochow, a late immigrant to Johor Bahru, who had to face fierce competition from the dominant Teochews, and who attributed his subsequent success to the help he received from the Malay community. By 1920, Kuok's fortune was already made, and he was among the very few who could afford the new luxury of motorcars."

(Ketua keluarganya adalah Kuok Keng Kang, juga dari Foochow, seorang pendatang baru ke Johor Bharu, yang mendapat persaingan hebat dari puak Teochew. Kuok Keng Kang juga berjaya hasil bantuan yang diterimanya daripada masyarakat Melayu. Menjelang tahun 1920, Kuok Keng Kang sudah pun menjadi kaya raya, dan menjadi antara segelintir orang yang mampu memiliki beberapa buah kereta mewah).

Orang Melayu ni baik dan pelik. Dia tolong semua orang. Kadang-kadang dia tolong orang bangsa lain lebih daripada dia tolong bangsa sendiri. Dengan bangsa sendiri dia kira. Dengan orang bangsa lain dia cincai.

Kuok Keng Kang mula berniaga beras, gula dan tepung gandum di Johor Bahru dengan pertolongan pembesar Melayu. Ada sebuah cerita dalam akhbar The Star tidak lama dulu yang kata pembesar Melayu Johorlah yang tolong sembuhkan Kuok Keng Kang daripada penagihan candu.

Roberk Kuok dan saudara lelakinya, Philips dan William dihantar belajar di sekolah Inggeris. Philips akhirnya jadi diplomat tapi William yang masuk Parti Komunis Malaya ditembak mati oleh Inggeris pada 1952.

Antara kawan sekolah Robert Kuok di Kolej Raffles, Singapura adalah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Lee Kuan Yew.

Robert Kuok sah jadi Raja Gula dengan bantuan kerajaan bila pada 1968 bila dia tubuh syarikat Perlis Plantation Berhad (PPB) bagi menyahut seruan kerajaan mewujudkan industri gula tempatan.

Syarikat itu dibagi tanah di Perlis dan monopoli untuk import, proses dan edar gula sampai tahun lalu bila Kuok jual sahamnya dalam perniagaan gula kepada Felda Global Ventures, anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Dengan keuntungan daripada monopoli gula itulah, Robert Kuok bina empayar perniagaannya di Malaysia yang kemudian berkembang ke Singapura, Hong Kong, Negeri China dan ke seluruh dunia. Kalau pun betul orang Cina pandai berniaga, tapi di Malaysia mereka berjaya dan ramai jadi kaya raya kerana turut dibantu oleh kerajaan

Perak Today telah memetik artikel ini dari Berita Harian Online, tujuan kami adalah untuk membuktikan kepada pembaca yang dihormati sekalian bahawa sesungguhnya DEB bukan memberi keuntungan kepada orang Melayu tetapi juga kaum lain.

Ini adalah salah satu contoh dari ribuan lagi kaum yang telah mengaut keuntungan melalui DEB, maka kami harap sebelum anda terpedaya dengan mainan politik pembangkang kajilah dulu sejarah, jangan jadi Pak Turut saja.

Editor Perak Today