Tuesday, June 15, 2010

Nizar Letak Jawatan Sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak

IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) serta-merta selepas menyandangnya sejak Oktober 2008.

Selain beliau, Timbalan Presiden Seah Leong Peng; Setiausaha Anuar Hashim; Bendahari Abdul Rahim Md Arif dan beberapa ahli majlis yang dilantik oleh presiden turut melepaskan jawatan masing-masing.

Mohammad Nizar berkata keputusan itu diambil untuk memberi laluan kepada pengurusan baru menstruktur semula persatuan ini.

"Saya mengambil keputusan ini setelah mengambil kira pelbagai faktor dan ia satu keputusan yang memberi kebaikan untuk masa depan PAFA. Keputusan ini akan memberikan kesempatan kepada Kerajaan Negeri menstruktur semula badan ini agar kembali cemerlang dan maju lebih," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat terakhirnya di pejabat PAFA hari ini.

Beliau berkata sementara menunggu mesyuarat agung akan datang jawatan Presiden dipangku Datuk Seri Abdullah Hisan mengikut perlembagaan pertubuhan.

"Selepas ini ahli majlis (yang ada) bermesyuarat untuk membuat keputusan memilih pemangku sehingga mesyuarat agung akan datang," kata Mohammad Nizar. - BERNAMA

1 comments:

Anonymous said...

MENYEMAKK JEK TNGOK MUKE SI LABU SAYONG TUH...BLAH!..BLAHH!! KEHKEHKEH