Sunday, July 4, 2010

Najib: Utusan perlu berubah kekal relevan

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Utusan Malaysia, produk terbitan kumpulan media milik Umno, perlu melakukan perubahan jika mahu kekal relevan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Sehubungan itu Najib yang juga Presiden Umno berkata, akhbar-akhbar terbitan kumpulan tidak seharusnya menjadi organ yang mencerminkan pendirian parti itu semata-mata.

“Saya faham berita-berita sensasi jual... khususnya yang berkaitan seorang individu itu,” kata beliau, dipercayai merujuk kepada serangan berterusan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan bekas timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

“Tetapi anda juga mesti menjadi medium untuk membina budaya intelek, masyarakat yang kritikal,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) ini.

Perdana Menteri (gambar) menyempurnakan majlis pecah tanah bangunan baru Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin di sini pagi ini.

Selain Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Kumpulan Utusan turut menerbitkan sejumlah majalah dan akhbar harian tabloid Kosmo.

Sejarah Kumpulan Utusan memulakan operasinya di Singapura sebagai Utusan Melayu Pte Ltd, dengan terbitan akhbar Jawi, Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Perdana Menteri berkata upacara pecah tanah ini seharusnya seiring dengan peralihan paradigma akhbar Kumpulan Utusan.

Sementara ia terus berjuang demi agenda melindungi majoriti “kaum, Islam dan negara”, Utusan juga seharusnya memainkan peranan penting bagi kerajaan mencapai sasaran pelan pembaharuan.

“Dalam pembinaan bangunan baru, Utusan juga perlu bertindak ke aras mengendalikan pembaharuan,” katanya.

Sejak mengambil alih kepimpinan negara awal 2009, Najib telah menggerakkan usaha memulihkan imej kerajaan persekutuan pimpinan BN termasuk memperkenalkan konsep 1 Malaysia.

Bagaimanapun Utusan didakwa tidak membantu Najib dalam mencapai sasarannya. Ia juga didakwa meneruskan penerbitan artikel-artikel bercorak menguris perasaan masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Meskipun Perdana Menteri tidak menyentuh aspek ini dalam ucapannya, beliau membayangkan akhbar Kumpulan Utusan harus dengan segera mengubahsuaikan kedudukannya dengan perubahan iklim politik dan ekonomi.

Sambil menyeru Kumpulan Utusan agar bergerak pantas untuk mengharungi persaingan dalam industri media, Najib memberi amaran akan keperluan bagi akhbar bahasa Malaysia ini mempertahankan soal integriti.
Grab a Celcom Blue Bear(TM) and stand to walk away with RM10,000!

“Soal integriti dalam laporan berita adalah penting,” katanya.

Mengenai pembinaan bangunan baru ibu pejabat Kumpulan Utusan, Najib berkata ia mencerminkan kesungguhan pengurusan Utusan melangkah ke hadapan dengan penuh kegigihan sebagai lambang sebuah institusi yang berjaya dalam apa juga zaman ia berada.

Sambil mengingatkan perjuangan Utusan Melayu dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara sejak penubuhannya pada 1938, Najib berkata pada kurun ke-21 ini pun beliau mahu terus melihat Kumpulan Utusan meneruskan kesinambungan itu.

Katanya, Utusan Melayu juga harus membuat segala perubahan yang perlu seiring dengan perubahan zaman bagi menghadapi persaingan daripada akhbar lain serta juga sumber maklumat lain seperti blog, portal berita dan televisyen satelit 24 jam.

“Saya harap Utusan Melayu akan terus menjadi sebuah institusi yang unggul atas nama perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Bangunan ibu pejabat setinggi tujuh tingkat yang menelan belanja lebih RM90 juta itu dijangka siap menjelang 2013, dan ia bakal menempatkan sebahagian besar petugas Utusan Melayu yang berada di Lembah Klang termasuk beberapa anak syarikat.

Najib berkata beliau faham bahawa media lebih berminat dengan cerita-cerita sensasi, dan menurutnya cerita sensasi sedemikian “sedikit sebanyak memang boleh”, tetapi pada masa yang sama media perlu menitikberatkan kepada berita berbentuk keilmuan supaya masyarakat dapat berfikir secara lebih intelektual dan bjektif.

“Ini juga peranan akhbar. Jangan (asyik) cerita sensasi, cerita panas atau konflik. Saya tahu dalam bidang kewartawanan, di Barat akan tekankan bahawa konflik itu bermakna berita itu boleh dijual,” katanya.

0 comments: