Saturday, July 18, 2009

Biar polis buat siasatan: Muhyiddin

PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua pihak tidak membuat reaksi berlebihan dengan menyebar tuduhan palsu berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin.

Berjanji tiada apa yang akan disembunyikan dalam siasatan itu, Timbalan Perdana Menteri mahu semua pihak membenarkan polis menjalankan penyiasatan tanpa sebarang halangan.

“Kami tidak boleh membuat andaian kerana kami masih belum mengenal pasti sebab di sebalik kejadian ini. Tolong jangan menuding jari kepada sesiapa. Kami tidak boleh menuduh sesiapa atau membuat dakwaan tidak berasas kerana ia akan menimbulkan masalah tidak sepatutnya kelak. Mari kita tunggu polis menyiasat kejadian ini.

“Apa pun, kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing di sini, semalam.

Kelmarin, Teoh Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mayatnya ditemui sembilan tingkat di bawah dari pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 oleh penjaga bangunan itu pada kira-kira 1.30 tengah hari.

Beng Hock membantu dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan oleh beberapa wakil rakyat.

Laporan akhbar mendedahkan Beng Hock dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM pada petang Rabu dan dibenarkan keluar dari ibu pejabat SPRM Selangor itu yang terletak di tingkat 14 bangunan 20 tingkat itu pada kira-kira 3.45 pagi kelmarin.

“Penyiasatan itu adalah tanggungjawab polis. Mereka perlu menjalankan penyiasatan terperinci. Tiada apa yang perlu ditakutkan.

“Polis boleh menyiasat sesiapa sahaja, termasuk SPRM, ahli politik dan individu. Tidak patut ada sebarang halangan terhadap penyiasatan polis,” katanya.

Beliau menggesa semua pihak terutama pembangkang supaya tidak emosi�onal berhubung kejadian itu.

Ditanya mengenai demonstrasi anjuran parti-parti pembangkang, khususnya DAP, berhubung kejadian itu, katanya perkara itu tidak perlu kerana polis lebih tahu mengenai situasi itu.

“Ini di bawah bidang kuasa keselamatan. Jika polis kata tidak perlu menganjurkan demonstrasi seperti itu, dengan itu jangan salahkan mereka jika mereka mengambil tindakan terhadap demonstrasi seumpama itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan kes kematian Beng Hock akan disiasat segera.

Menurutnya, beliau memberi kepercayaan kepada anggota polis untuk menjalankan siasatan secara profesional berhubung insiden terbabit.

“Saya percaya polis akan menyiasat kes ini tanpa melibatkan sesiapa sahaja dan segalanya (siasatan) akan diselesaikan segera. Kita tidak akan melewatkan insiden ini,” katanya.

Menurut Hishammuddin, dalam usaha menyelesaikan tragedi itu, beliau sendiri akan terlibat secara langsung untuk memantau kes siasatan tersebut.

“Kita akui kejadian ini amat menyedihkan tetapi proses ini perlu diteruskan walaupun terdapat pelbagai spekulasi berhubung dengan inisiden terbabit,” katanya.

Dipetik dari Sinar online.

0 comments: