Friday, July 10, 2009

Lim Guan Eng MUNGKIR JANJI!


PULAU PINANG 8 Julai – Penduduk Kampung Buah Pala hampa dan kecewa apabila pertemuan dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang ditunggu-tunggu sejak seminggu lalu gagal menyelesaikan masalah mereka.

Sekumpulan 20 penduduk kampung itu yang tiba di Komtar kira-kira pukul 10.30 pagi terkejut apabila dimaklumkan oleh wakil Guan Eng hanya lima orang dibenarkan naik ke tingkat 28 bangunan tersebut yang menempatkan pejabat ketua menteri.

Mereka hanya dibenarkan berbuat demikian seorang demi seorang manakala peguam yang mewakili penduduk kampung itu RSN Rayer yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer tidak dibenarkan turut serta.

Penetapan syarat-syarat itu menyebabkan suasana kecoh sehingga akhirnya hanya seorang penduduk sahaja yang naik ke pejabat Guan Eng.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk-Penduduk Kampung Buah Pala, K. Sugumaran berkata, beliau hairan tindakan Setiausaha Agung DAP itu menetapkan syarat-syarat yang tidak masuk akal.

“Kami datang untuk mencari jalan penyelesaian masalah yang melanda tetapi nampaknya suasana hari ini tidak membawa ke arah itu.

“Kami ini hanya orang kampung, sudah tentu tidak pandai mengenai selok-belok perundangan. Sebab itulah kami mahu membawa bersama peguam kami. Kerajaan negeri pun ada peguam mereka sendiri,’’ katanya ketika ditemui pemberita di tingkat tiga bangunan Komtar di sini hari ini.

Semalam, Sugumaran berkata, penduduk Kampung Buah Pala gembira apabila diberitahu Ketua Menteri akhirnya sedia bertemu mereka hari ini setelah menolak berbuat demikian beberapa kali sejak lebih seminggu lalu.

Pertemuan yang sepatutnya menjernihkan keadaan bertukar menjadi keruh sekali gus membayangkan seperti ‘ada udang di sebalik batu’.

Sugumaran turut mempertikaikan tindakan Guan Eng yang meminta hanya lima orang wakil penduduk itu datang berjumpa dengannya seorang demi seorang.

“Saya pelik dengan ‘kaedah’ pertemuan ini. Kenapa perlu berjumpa seorang demi seorang.

“Ini mesti ada agenda lain dalam fikiran mereka. Mungkin hendak mengelirukan fikiran penduduk,’’ katanya.

Beliau berkata, kira-kira pukul 12.15 tengahari, hanya seorang sahaja naik ke pejabat Ketua Menteri itu.

“Dulu, ketika DAP jadi pembangkang di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), penduduk Kampung Buah Pala hidup dengan tenang.

“Namun sebaliknya telah berlaku sebaik sahaja kerajaan baru ambil alih. Mereka baru saja mentadbir kerajaan setahun, lihatlah apa sudah jadi kepada kami,’’ ujarnya.

Sugumaran bersama ahli jawatankuasa penduduk yang lain dilihat pulang dalam keadaan hampa kira-kira pukul 12.40 tengahari ‘tanpa sempat berjabat tangan’ dengan Guan Eng.

Petikan Utusan Online.

0 comments: