Friday, September 18, 2009

Nizar KKK: Pelaburan pasukan F1 100 kali lebih baik - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Nilai faedah iklan yang akan diraih daripada pasukan F1 negara adalah 100 kali lebih banyak daripada kos pelaburan bagi pasukan itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bukan pembaziran wang untuk melabur dalam pasukan F1 negara kerana kebaikannya, termasuk daripada segi pelancongan dan kemajuan teknologi, adalah lebih banyak berbanding keburukannya.

Malahan semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi dan pertumbuhan negatif, Tun Dr Mahathir berkata masih terdapat industri yang terus berkembang seperti pelancongan.

"Kami berpandangan Formula One sebagai wadah penting untuk mempromosikan Malaysia kepada dunia," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata Malaysia perlu membayar US$1 juta untuk iklan hanya selama tiga minit di Jepun.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pasukan F1 1Malaysia akan menyertai perlumbaan Formula One bermula tahun depan.

Najib berkata projek itu merupakan inisiatif usahasama antara kerajaan dan sektor swasta dengan pelaburan kerajaan adalah melalui Proton, pengeluar kereta nasional.

Menurut laporan berita, dianggarkan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun diperlukan untuk membiayai pasukan FI.

"Melalui perlumbaan F1, Malaysia akan dipertontonkan kepada dunia selama beberapa jam. Kita tidak perlu bayar satu sen pun. Jika kita kira iklan di Jepun sahaja, ia mungkin menelan sehingga US$100 juta atau US$200 juta.

"Jadi bayangkan...lebih 300 stesen televisyen yang menyiarkan perlumbaan F1. Orang akan lebih tahu mengenai Malaysia jika kita mempunyai pasukan F1 kita sendiri," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata melabur dalam pasukan F1 bukan sekadar mengenai perlumbaan permotoran sahaja kerana teknologi yang dibangunkan bagi enjin untuk kereta lumba juga boleh diaplikasikan untuk industri automotif negara.

Najib telah menyatakan yang kereta pasukan F1 1Malaysia akan direka dan dihasilkan oleh warga Malaysia di Malaysia.

Tun Dr Mahathir berkata memiliki satu pasukan, ia juga akan menggalakkan negara untuk mengeluarkan pemandunya sendiri untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan bertaraf dunia.

Malaysia terbabit dalam Formula One sejak 1999 menerusi litar Sepang yang telah disenaraikan dalam kalendar perlumbaan sejak itu.

Petronas, syarikat gergasi minyak dan gas negara, telah menceburi arena itu melalui penajaannya bagi pasukan BMW Sauber sejak empat tahun lepas.

Dr Mahathir, yang juga penasihat Petronas, berkata adalah lebih murah bagi Malaysia untuk membentuk pasukannya sendiri daripada mengambil alih pasukan Sauber selepas BMW menarik diri daripada menaja pasukan itu.

"Jika kita (Malaysia) boleh melabur berbilion ringgit bagi koridor-koridor yang kita tidak dapat lihat, kenapa kita tidak boleh melabur bagi pasukan F1 kita sendiri?" katanya.

Pasukan F1 negara akan mempunyai krew teknikal dan pit Malaysia berjumlah kira-kira 200 orang.

Enam pemandu tempatan dan antarabangsa telah disenarai pendek untuk penilaian dan pasukan itu akan mengumumkan dua pemandunya menjelang akhir bulan depan. BERNAMA

1 comments:

Anonymous said...

tambah miskin lah orang sabah/sarawak ni...