Tuesday, October 20, 2009

Nizar Pasberg: Krisis MCA rugikan pemimpin parti kata Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau yakin ahli MCA mampu membuat keputusan tepat dan bijak bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan dalam parti itu.

Namun, katanya, mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua yang dicadangkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, tidak akan memberi apa-apa faedah sekiranya keputusan yang dicapai tidak mampu menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu.

Merujuk pengalamannya menerajui Umno selama lebih 20 tahun, Dr Mahahthir berkata krisis seumpama itu akan hanya merugikan pemimpin yang bertelagah sahaja.

"Saya hanya bercakap melalui pengalaman saya sendiri, bahawa apabila anda menghadapi cabaran pada peringkat ini, tidak kira siapapun yang menang, anda akan kehilangan ahli-ahli yang memilih untuk menyokong pihak yang kalah.

"Macam masa Tengku Razaleigh (Hamzah) lawan saya. Bila saya menang, dia buat pula parti Semangat 46," katanya kepada pemberita selepas majlis Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir, bagaimanpun, enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya mengenai keperluan untuk semua pemimpin MCA meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

"Saya tak boleh beri pandangan macam tu, sebab nanti orang kata saya campur tangan dalam urusan rumah tangga orang. Saya tak mahulah...

"Saya bagi contoh dulu saja, tentang apa yang jadi pada saya. Orang nak ambil iktibar tentang apa yang jadi pada saya, terpulanglah. Orang sekarang sensitif," katanya.

Dalam perkembangan lain mengenai "percutian" bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, selama enam bulan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau berkata perkara itu bukan sesuatu yang baru kerana ia adalah ciri khusus bekas menteri berkenaan.

"Dia boleh cuti sampai bila-bila. Ini kali pertama saya mendengar ada orang bercuti panjang dari parti. Itu Zaidlah..ini memang 'trademark' dia," katanya secara sinis.

Sabtu lalu, Zaid yang menyertai PKR sejak Jun lalu, mengumumkan bahawa beliau akan "bercuti politik" selama enam bulan atas alasan "memberi tumpuan pada urusan dalaman parti".

Sementara itu, ketika mengulas mengenai cadangan supaya Umno menerima semula Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, sebagai ahli, Dr Mahathir berkata perkara itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, Ibrahim adalah bekas ahli Umno yang "ditendang" keluar oleh pihak tertentu dalam Umno.

"Itu terpulang kepada parti untuk membuat keputusan. Ibrahim Ali kawan baik saya, sama ada beliau dalam parti, keluar parti atau di bawah tahanan, beliau tetap kawan baik saya.

"Saya rasa lebih ramai orang di dalam Umno yang lebih patut keluar dari parti, (mereka) lebih teruk daripada Ibrahim," katanya. - Bernama

0 comments: