Sunday, January 3, 2010

Zul Kulim suruh Khalid Gereja Samad sertai DAP!



Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Tuhan Yang Esa, yang tiada sekutu bagi Nya. Tuhan Raja segala raja, yang memiliki segala Kerajaan. Tuhan yang tiadalah aku sembah melainkan ALLAH yang Satu.

Saya merujuk kepada kenyataan YB Khalid Samad yang menyatakan persetujuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31.12.2009 yang membenarkan permohonan puak Kristian melalui akhbar The Herald untuk menggunakan perkataan ALLAH bagi ganti nama "God" dalam penerbitan mereka. Hujjah YB Khalid menyokong puak Kristian menggunakan perkataan ALLAH boleh disimpulkan kepada 3 iaitu:

1. Nama "ALLAH" bukan milik ekslusif umat Islam;

2. Bahawa Al Quran sendiri membenarkan dan menggalakkan Kristian menggunakan perkataan ALLAH berdasarkan Surah Az Zukhruf: 86-87 dan Al Ankabut: 63;

3. Rasulullah sendiri tidak menghalang orang 'arab musyrikin Quraisy menggunakan perkataan ALLAH.


Sanggahan saya:

1. Nama ALLAH bukan milik sesiapa pun, samada Muslim atau kafir, baik manusia atau mana-mana makhluk dimuka bumi atau di alam maya ini. Sebenarnya nama ALLAH adalah milik mutlak ALLAH sendiri sebagai Maha Pencipta kita. Dan ALLAH itulah yang telah menurunkan Al Quran sebagai wahyu terakhir kepada manusia melalui Rasulullah saw khatamul anbiya. Al Quran itu adalah satu-satunya petunjuk kepada jalan ketaqwaan (Al Baqarah:2). Dan Al Quran itu adalah petunjuk yang benar dan haq, dan dimenangkan dan dimuliakan atas agama dan kefahaman lain, walau musyrikin (dan kafir la'natullah lain) tidak suka (Al Fath: 20).

ALLAH yang empunya nama Nya sendiri itu telah menegaskan bahawa yang namanya ALLAH itu Satu; "Katakan Muhammad bahawa ALLAH itu Satu, Ia merdeka dan berdiri sendiri, tidak bergantung dengan sesiapa, Dia tidak beranak lagi tidak dperanakkan, ALLAH itu tidak sekufu dengan sesiapa pun" (Al Ikhlas: 1-4).

Jelas disini bahawa ALLAH yang empunya nama ALLAH itu sendiri menegaskan bahawa nama ALLAH itu adalah nama Tuhan yang Satu. Sedangkan Kristian zaman ini termasuk di Malaysia bercadang menggunakan nama ALLAH dengan menyifatkannya sebagai Tuhan triniti; tiga dalam satu: Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Ruh Qudus! Tidakkah itu terang-terang bercanggah dengan penegasan ALLAH sendiri bahawa apabila menggunakan nama Nya bermakna merujuk kepada Tuhan yang Satu! Dan itulah aqidah umat Islam yang mempertuhankan ALLAH Yang Satu.

2. Surah Az Zukhruf:86-87 dan Al Ankabut: 63 adalah penegasan ALLAH bahawa kalau ditanya kepada golongan kafir dan penyembah berhala bahawa siapa yang mencipta mereka, nescaya mereka akan menjawab ALLAH. Kita perlu lihat ayat ini adalah urutan daripada ayat-ayat sebelumnya yang mana ALLAH mencela perbuatan golongan kafir dan musyrikin yang menyembah selain ALLAH; sebaliknya menyembah patung dan sembahan-sembahan yang lain. Sedangkan bila ditanya apakah yang mencipta mereka itu patung-patung sembahan mereka, nescaya mereka akan kata tidak, sebaliknya ALLAH.

Maka para ulama menyatakan bahawa perkataan mereka itu yang mengakui ALLAH adalah pencipta bukan Jesus dan lain-lain adalah dalam bentuk 'rububiyah'. Iaitu mengakui sifat ALLAH sebagai Pencipta. Samalah apabila saintis terkenal Stephen Hawkins bila selesai mengkaji teori 'Big Bang' dalam masalah penciptaan dunia, dia menyatakan ada satu kuasa besar yang mencipta bumi ini. Atau apabila mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, bila ditanya macam mana tragedi tanah runtuh di Genting berlaku, dia menyatakan ini "Tuhan Alah punya keleja". Dan banyak lagi komen sedemikian yang dibuat oleh golongan kafir dan musyrikin. Itu bukan bermakna mereka menerima ALLAH dalam bentuk 'uluhiyyah' atau aqidah, tetapi dalam bentuk 'rububiyah'. Dalam berkata begitupun mereka tetap menyembah patung dan lain-lain.

Sebaliknya ayat 86-87 Az Zukhruf dan ayat 63 Al Ankabut tidak menyatakan ALLAH membenarkan penggunaan nama ALLAH bagi maksud selain daripada Tuhan Yang Esa, Satu, Wahid!! Malahan tidak ada sebarang nas langsung yang mana ALLAH mahupun Rasulullah membenarkannya. Menyatakan bahawa ALLAH, Al Quran dan Islam menggalakkan penganut Kristian menggunakan perkataan ALLAH untuk gambaran Tuhan 3 dalam satu adalah suatu putarbelit terhadap ayat Al Quran; ianya suatu provokasi terhadap tunjang aqidah umat Islam bahawa ALLAH itu satu;

3. Saya berpendapat kenyataan beliau bahawa Rasulullah sendiri tidak menghalang musyrikin Mekah menggunakan perkataan ALLAH perlu difahami dalam konteks bahasa 'arab dan budaya 'arab sendiri. Kira perlu faham bahawa dalam bahasa 'arab, mereka tidak ada gantinama perkataan 'God" selain ALLAH. Bagi mereka perkataan ALLAH itu sendiri bermakna God. Sedangkan dalam Bahasa Melayu gantinama perkataan God ialah Tuhan; dan nama ALLAH dalam bahasa Melayu tidak bermaksud gantinama God secara umum, tetapi membawa pengertian yang khas-iaitu Tuhan Yang Satu. Oleh itu adalah melanggar tatacara bahasa Melayu sendiri untuk menyamakan perkataan ALLAH sebagai God. Kalau kita melihat kamus Dewan Bahasa, kamus paling authentik dan autoritatif mengenai bahasa Melayu menyatakan dengan jelas bahawa perkataan ALLAH bermaksud Tuhan Yang Satu dalam Bahasa Melayu.

Malahan kalau kita melihat contohnya The Hutchinson Encyclopedia (muka surat 27), perkataan ALLAH ditafsirkan sebagai, "ALLAH: Islamic name for God". Begitu juga kalau kita merujuk kepada Encycopedia Brittanica, Wikipedia dan lain-lain. Adalah jelas nama ALLAH dikaitkan dengan Tuhan Yang Satu, Tuhan umat Islam.

Kalau kita bercadang nak mengheret sejarah dalam isu ini, kita boleh mempertikaikan agama Kristian dan Yahudi itu sendiri dari segi nama ketuhanan mereka. Apa yang jelas, Nabi Isa yang Kristian angkat menjadi anak tuhan bukan orang 'Arab, sebaliknya dia adalah seorang Yahudi bani Israel berbangsa Hebrew. Sudah tentu nama beliau bukan dalam bahasa 'arab. Jadi bagaimana pula golongan Kristian boleh mendakwa nama "ALLAH" sebagai tuhan mereka telah diguna sejak awal ujudnya agama Kristian. Sebaliknya nama asal Nabi Isa dalam kitab Hebrew ialah Yehwah. Malah nama "Jesus" sendiri pun adalah sebenarnya ciptaan barat, berasal daripada perkataan Greek kuno "Yeosus" kemudian diubah menjadi "Yesus" dalam Inggeris lama sebelum menjadi Jesus dalam Inggeris moden!!

Begitu jugalah dengan agama Yahudi atau Judaism. Judaism adalah "the religion of the ancient Hebrews and their descendants the Jews, based, according to the Old Testament, on a covenant between God and Abraham about 2000BC, and the renewal of the covenant with Moses about 1200BC. Judaism is the oldest monotheistic faith, the forebear of Christianity and Islam. It rest on the concept of one eternal invisible God". Jadi adalah jelas agama asal Yahudi, yang selepas itu diikuti oleh agama Kristian adalah berteraskan kepada kepercayaan Tuhan itu Satu!! Sebab itu setelah kesesatan mereka, mereka masih menerima ALLAH sebagai Maha Pencipta (rububiyah) tetapi menolak ALLAH sebagai Tuhan Yang Satu (uluhiyah).

Rumusan:

Apa yang jelas, rancangan Kristian Malaysia untuk menggunakan perkataan ALLAH itu adalah dalam konteks mempercayai nama ALLAH itu adalah nama bagi Tuhan yang berkonsepkan fahaman Triniti: iaitu 3 dalam 1. Sudah tentu ini bercanggah dengan aqidah umat Islam termasuk bangsa Melayu. Malahan pada saya ini adalah satu perancangan halus dan jahat mereka untuk mengelirukan umat Islam. Yang saya pelik, mengapa mereka berkeras mahu menggunakan perkataan ALLAH hanya bagi penerbitan Kristian dalam Bahasa Melayu, tetapi didalam versi bahasa Inggeris mereka masih menggunakan perkataan Jesus dan lain-lain. Tidakkah itu membuktikan satu muslihat yang jahat. Malahan sebenarnya muslihat la'nat ini telah digambarkan oleh ALLAH kepada kita didalam Al Quran di surah Al Baqarah:2, "sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak akan redho dengan kamu (umat Islam) selama-lamanya selagi kamu tidak mengikut cara kehidupan mereka; namun katakan (kepada mereka) bahawa cukuplah petunjuk ALLAH (al Quran) sebagai petunjuk kami (umat Islam). Tetapi jika kamu masih mahu mengikuti cara mereka setelah datang kepada kamu Al Quran, maka perbuatlah, namun Aku (ALLAH) tidak akan membantu dan membimbing kamu (iaitu ALLAH akan berlepas tangan denagn kita umat Islam).

Apa yang menghairankan saya bagaimana orang terpelajar saperti YB Khalid Samad yang duduk didalam PAS yang memperjuangkan Islam boleh menyokong keputusan Mahkamah ini. Saya diberitahu bahawa pandangan YB Khalid Samad tidak mewakili pandangan PAS sebagai parti. Malahan YB Ust Taib Azzamuddeen, mantan Imam Besar Masjid Negara dan Ahli Parlimen Baling, seorang ulama' yang dihormati lagi disegani telah secara terbuka menegur YB Khalid Samad didalam Parlimen (rujukan boleh dibuat didalam Hansard Parlimen)

Apakah YB Kahlid Samad selepas ini redho kalau segala gurdwara, gereja dan lain-lain rumah peribadatan bukan Islam mempamerkan perkataan ALLAH di rumah 'ibadat mereka. Apakah beliau redho Kristian mencatat perkataan ALLAH disalib mereka. Apakah beliau redho golongan punjabi mengukir nama ALLAH diatas gurdwara mereka. Kalau itu berlaku saya akan persalahkan YB Khalid Samad.

Malahan saya akan pergi lebih jauh dan menyeru YB Khalid Samad supaya menimbang semula keahlian beliau dalam PAS, sebaliknya saya mencadangkan kepada YB Khalid Samad supaya menimbang menyertai parti lain pilihan beliau, termasuk DAP. Ini adalah kerana saya lihat tindak tanduk YB Kahlid Samad akhir-akhir ini, terutamanya sejak diberi anugerah dan amanah oleh ALLAH menduduki kerusi empuk Parlimen Shah Alam lebih banyak yang merosakkan nama dan imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Beliau adalah orang yang memalukan PAS termasuk Presiden YB Tuan Guru Haji Hadi apabila menarik balik usul yang diluluskan mu'tamar agung PAS yang mengkritik golongan Sisters In Islam setelah segelintir golongan membantah usul tersebut. Beliau mendakwa berlaku kesilapan walaupun setelah mu'tamar agung PAS menerima dan meluluskannya dan YB Presiden telah membuat tindakan susulan berdasarkan usul tersebut.

Kedua, beliau mengambil sikap menyokong tindakan penganut hindu untuk membina kuil hindu di Seksyen 23, kawasan perumahan yang majoritinya orang Melayu beragama Islam walaupun sudah ada tapak gantian yang siap disediakan di Seksyen 18 Shah Alam. Orang Melayu yang membantah dan memprotes dikritik oleh beliau dan diberi pelbagai macam label.

Beliau turut memalukan PAS apabila mendedahkan kepada umum amalan dikalangan sebahagian wakil rakyat PAS yang mengangkat bai'ah akan menceraikan bini dengan talaq 3 jika keluar daripada PAS dan mneyertai UMNo. Walaupun pimpinan PAS telah menegur dan cuba menafikan isu itu, beliau tetap berkeras mengakuinya sehingga menjejaskan imej PAS khususnya dikalangan wanita Islam.

Beliau mengkritik secara terbuka kepimpinan PAS Selangor khususnya Pesuruhjaya PAS Negeri YB Datuk Hassan Ali yang telah menegur Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam beberapa isu saperti penjualan minuman arak, Selcat dan lain-lain. Malahan beliau telah memalukan YB Datuk Hassan Ali apabila menuntut supaya YB Datuk Hassan meletakkan jawatan!

Jadi saya melihat tindak tanduk dan sikap yang ditunjuk oleh YB Khalid Samad ini tidak selaras dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Malahan respon yang diterima jelas menunjukkan ada orang Melayu yang beragama Islam mula mempertikaikan perjuangan ikhlas PAS dalam memartabatkan Islam kerana ujudnya karektor-karekor saperti YB Khalid Samad. Saya sendiri dihujani dengan pelbagai kritikan kerana dilihat bersekongkol dengan YB Khalid kerana beliau duduk didalam barisan YB Pakatan Rakyat.

Maka ingin saya perjelaskan kepada umat Islam khususnya, dan rakyat umumnya bahawa saya bermufaraqah pendirian dengan YB Khalid Samad, dan saya tidak redho apatah lagi bersekongkol dengan beliau dalam pandangan-pandangan dan sikap beliau yang pada pendapat saya bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang saya yakini.

Oleh itu saya mendesak supaya:

1. YB Khalid Samad supaya menimbang keluar daripada PAS dan menyertai mana-mana parti lain pilihan beliau termasuk DAP;

2. kepimpinan PAS perlu mengambil tindakan disiplin yang jelas terhadap YB Khalid Samad agar memberi mesej yang jelas kepada umat Islam khususnya bangsa Melayu bahawa PAS tidak bersekongkol dengan beliau dalam beberapa isu tersebut diatas. Malahan saya mencadangkan kepada kepimpinan PAS supaya menimbang mengambil tindakan memecat keahlian YB Khalid Samad daripada PAS. Kegagalan kepimpinan PAS mengambil tindakan akan memberi gambaran negatif terhadap kepimpinan PAS, dan menjejaskan imej dan persepsi PAS sebagai wadah perjuangan Islam.

3. Kepada rakan-rakan bukan Islam khususnya penganut Kristian dan Punjabi yang beriya-iya mahu menggunakan perkataan ALLAH, saya seru kamu semua supaya marilah kita menyembah ALLAH Tuhan yang Satu. Marilah kamu memeluk agama Islam. Apabila kamu memeluk Islam dan mengangkat syahadah mengaku ALLAH Tuhan yang Satu, kamu boleh menggunakan nama ALLAH sebanyak mana yang mungkin, dan kamu boleh menulis nama ALLAH sebesar mana yang kamu mahu.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

2 comments:

Anonymous said...

Khalid Samad harus direjam!!!!!!

Anonymous said...

Saya sanjung ketegasan Tuan dalam isu ini..............Pertahankan Kesucian Agama Islam adalah No.1,parti No.2,pemimpin parti yang begini wajar disanggah.
YB Zul, onar sebeginilah yang memerlukan ISA.