Sunday, December 20, 2009

Nizar DAPberg: Anwar memang pemimpin yang licik!

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin licik yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mengalih tumpuan rakyat daripada masalah dalaman yang semakin meruncing dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas setiausaha sulitnya, Anuar Shaari mendakwa Anwar kini melalui kumpulan pengalih perhatian atau diversion team parti itu sedang giat merancang propaganda tersusun memburukkan kerajaan dan juga pemimpin Barisan Nasional (BN).

Berdasarkan pengalamannya, usaha itu sedang memuncak menjelang perbicaraan kes liwat Anwar di mahkamah yang dijadualkan selama sebulan bermula 25 Januari tahun depan.

"Situasi Anwar kini amat terdesak ekoran masalah dalaman parti yang kritikal, sokongan rakyat dan ahli serta pimpinan PKR semakin mengikis, rakan-rakan dalam parti pembangkang juga meragui kredibilitinya.

"Semua ini diambil kira oleh Anwar dan perlu dialihkan kepada isu lain termasuk memburukkan kerajaan dan BN. Ia amat perlu dilakukan sebelum tibanya hari perbicaraan itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Anuar mendakwa, segala propaganda ini menjurus untuk menanamkan persepsi di kalangan ahli parti dan penyokongnya bahawa perbicaraan itu merupakan konspirasi terancang yang didalangi oleh kerajaan BN.

Akhirnya, dakwa beliau, apa sahaja keputusan mahkamah dan juga 'perkara dalam kelambu' yang terkeluar semasa perbicaraan itu kelak, akan dianggap telah dirancang oleh BN untuk menjatuhkan Anwar.

"Inilah antara matlamat Anwar dan pasukannya yang kini giat melakukan serangan bukan sahaja ke atas kerajaan dan pemimpin BN tetapi melibatkan keluarga-keluarga mereka," katanya.

Anuar berkata, antara krisis dalaman yang cuba dialihkan oleh PKR adalah mengenai penguasaan total pemimpin 3A iaitu Anwar; Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; dan Naib Presiden, Azmin Ali.

"Pemimpin 3A ini akan mencantas kedudukan pemimpin PKR yang meningkat naik kerana mereka berhasrat memanjangkan kesinambungan penguasaan 3A ini pada pucuk pimpinan parti," katanya.

Tambah beliau, Azmin juga sedang menghadapi krisis kepercayaan dan kredibiliti kerana berhadapan dengan dakwaan pembelian saham bernilai RM8 juta yang dibangkitkan oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vickneswaran.

Tindakan terdesak Anwar yang terkini, katanya, adalah cubaan untuk merampas kuasa dengan cara menghalang kelulusan Bajet 2010 di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu yang bertujuan mentaut kembali sokongan pemimpin parti itu yang sedang 'memberontak'.

sumber - utusan

0 comments: