Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Nik Abdul Aziz, sebagai pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), "telah menjalankan pelantikan yang ikhlas" apabila menaikkan Abdul Ariffahmi Abd Rahman, seorang menantunya, sebagai ketua PMBK.
"Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku menteri besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini."
Abdul Hadi, yang turut campur tangan dalam kontroversi itu sehingga mendorong Abdul Ariffahmi digugurkan sebagai ketua pegawai eksekutif PMBK, mengulas isu tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan ini yang disiarkan di akhbar web rasmi parti dipercayai sebagai menjawab serangan media dan pemimpin Umno terhadap Nik Abdul Aziz, juga mursyidul am parti itu, yang dituduh mengamalkan pilih kasih kepada anggota keluarga sendiri.
Abdul Hadi bagaimanapun tidak menyebut pihak yang dituduh memberikan nasihat yang salah kepada tokoh besar PAS itu, sama ada pegawai tinggi kerajaan atau barisan pemimpin kanan kerajaan negeri itu.
Sewaktu mengumumkan keputusan mesyuarat bersama Abdul Hadi pada 23 November lalu, Nik Abdul Aziz dilaporkan mengarahkan menantunya itu berbuat demikian demi "menjaga nama baik kepimpinan Islam khususnya PAS."
"Dulu masa saya lantik beliau, ada penasihat undang-undang, beliau tidak komen apa. Jadi saya lantik.
"Nanti untuk elak fitnah melalui bermacam saluran seperti surat layang jadi tidak mahu fitnah ini berkembang," beliau dipetik berkata.
Abdul Hadi, juga ahli parlimen Marang, menyifatkan tindakan Nik Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas bermesyuarat dengan barisan pemimpin kanan parti sebagai "satu tanda keikhlasan dan jiwa besar" menteri besar itu.
"Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan BN yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan," katanya lagi.
Selain Abdul Hadi, pemimpin lain yang turut hadir dalam mesyuarat bersama Nik Abdul Aziz sebelum peletakan jawatan Abdul Ariffahmi: Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung PAS Dr Hatta Ramli. Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment