Monday, November 30, 2009

Nizar DAPberg: Kisah Nik Aziz

PERKEMBANGAN politik Pas terutama di Kelantan makin panas sehingga menyebabkan cengkaman politik Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat goyah. Kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantu beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman atas tuduhan rasuah, membawa episod baru apabila beliau diarahkan melepaskan jawatan.

Dalam sebuah laman blog, Mohd. Ariff Fahmi dan isterinya yang juga anak Nik Aziz, dikecam teruk. Belum pun reda isu tersebut dan isu penajaan haji kepada Nik Aziz oleh sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kontrak di Kelantan, tercetus pula pergeseran antara Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Husam Musa dan anak kepada Nik Aziz, Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Husam dalam satu laporan media menyatakan beliau ‘diserang’ menerusi kritikan anak Nik Aziz. ‘‘Jika dijawab (serangan itu) nampak pula macam saya bergaduh dengan keluarga Tok Guru. Jadi saya bersabar,” katanya. Beberapa hari sebelum kenyataan itu, berdasarkan sumber dalaman Pas Kelantan, Husam dilaporkan mahu melepaskan jawatan tetapi beliau menafikan laporan tersebut.

Nik Abduh pula menyuarakan simpati terhadap bapanya yang menjadi mangsa permainan politik yang sengaja dirancang, yang sesetengah pemerhati mengaitkannya dengan proksi pemimpin tertentu.

Menurut Nik Abduh, berita peletakan jawatan seorang pemimpin Pas yang dianggap kesayangan bapanya telah kedengaran lebih awal. Walaupun tidak menyebut nama, ia jelas merujuk kepada Husam.

Apa maknanya? Yang pasti, pergeseran itu menambah kekusutan Nik Aziz terutama sejak isu cadangannya memanggil muktamar agung luar biasa bagi membersihkan parti itu daripada beberapa kerat pemimpin pro Presiden Pas, Hadi Awang ditolak. Ia digantikan dengan seminar yang akhirnya mengundang kritikan balas perwakilan.

Siapakah yang Nik Aziz mahu memihak sama ada Husam, yang merupakan ayam tambatan politiknya atau anak beliau sendiri yang juga mempunyai karisma? Pendirian kedua-duanya berhubung sama ada wajarkah Nik Aziz berundur atau terus kekal, juga berbeza.

Husam mencadangkan agar Nik Aziz mempertahankan kerusi DUN dan turut bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Nik Abduh pula lantang mengingatkan agar tiada mana-mana pihak cuba menghalang bapanya daripada berundur suatu hari nanti.

Awang nampak ada kebijaksanaan dan keberanian Nik Abduh dalam komen dan tindak-tanduknya. Sebelum ini, beliau pernah membuat pendedahan bahawa bapanya telah menerima salah nasihat dan mendapat gambaran tidak betul daripada golongan tertentu, yang dikaitkan oleh pemerhati dengan puak Erdogan.

Awang melihat Nik Abduh bintang baru yang boleh menjadi sandaran Pas. Beliau tidak hipokrit. Lebih penting, beliau tidak terikat dengan pengaruh luar, yang imej itu tebal kepada Husam.

Ulasan Azli Shukri : Mengapa sejak akhir-akhir ini, PAS seolah-olah telah ditimpa bala? satu demi satu masalah dalaman parti semakin terdedah dan terlondeh - sekali gus memperlihat sebahagian daripada akhlak buruk dan keji dalam kalangan ulama-ulama PAS. Namun demikian, saya ada jawapannya - mengapa PAS semakin menuju ke arah kehancurannya.

Segala-galanya bermula apabila Nik Aziz Nik Mat menolak perintah Allah yang jelas melalui ayat ke-10 dalam surah al-Hujrat yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."

Bukankah ayat ini tidak perlu lagi ditakwil berkenaan kewajipan umat Islam bersatu dan melupakan sengketa? Bukankah ahli PAS dan UMNO itu adalah beragama Islam? Jadi mengapa mesti Nik Aziz menolak cadangan Kerajaan Perpaduan yang pernah diilhamkan oleh Hj Hadi pada satu ketika dahulu?

Bukankah Hj Hadi hanya menurut perintah Allah sepertimana kehendak-Nya dalam ayat di atas itu? Mengapa Nik Aziz marah-marah tatkala UMNO dan PAS semakin menemui titik temunya untuk bersatu dan membentuk sefahaman? Bukankah ahli UMNO juga adalah orang beriman? seperti mana orang PAS juga? Bukankah kiblat bagi ahli PAS dan UMNO juga sama? Jadi mengapa Nik Aziz terlalu membenci ahli-ahli UMNO secara melampaui batasan?

Nah sekarang perhatikan apakah bala yang telah menimpa parti tersebut? Bermula dengan kritikan hebat Nik Aziz terhadap Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa - dengan mendakwa beliau merupakan boneka UMNO dan perlu disingkirkan.

Sebelum itu - kita juga disaljikan dengan kritikan pedas anak Nik Aziz, iaitu Nik Abduh terhadap orang yang dikatakan rapat dengan Nik Aziz (Husam Musa) dan cuba mencalar nama baik bapanya itu. Husam Musa diserang bertalu-talu tanpa belas kasihan di dalam blog Nik Abduh.

Tak cukup dengan itu - PAS sekali dikejutkan dengan cadangan Nik Aziz untuk mengadakan EGM bagi menyingkirkan pemimpin-pemimpin PAS yang dikatakan sangat menyokong idea Kerajaan Perpaduan - nama-nama yang patut disingkirkan menurut Nik Aziz termasuklah Dr Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa.

PAS bergelora sekali lagi apabila Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hassan at-Tantawi mengaku terdapat pengaruh luar yang cuba merosakkan PAS. Semua itu masih belum menyedarkan PAS - sehinggalah isu menantu Nik Aziz yang diangkat menjadi CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan menjadi fitnah kepada Nik Aziz dan keluarganya.

Tidak cukup dengan itu - Nik Aziz dilanda badai bencana lagi apabila isu berkenaan tajaan yang Nik Aziz peroleh bagi menunaikan haji ke Mekah dari pihak tertentu - dikatakan mempunyai unsur rasuah, malah SPRM bertekad akan menyiasat kes tersebut, sekali pun Nik Aziz telah menolak untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Lagi pun - dalam soal ini, saya berpandangan rasanya tidak perlulah menaja Nik Aziz untuk menunaikan haji sekali lagi - bukankah Nik Aziz sudah pun menunaikan haji wajibnya sebelum ini? Bukankah elok jika tajaan itu diberikan kepada fakir miskin atau orang-orang tua yang tidak cukup duit untuk menunaikan haji mereka?

Dugaan terus melanda PAS akibat daripada sifat sesetengah ulama PAS yang tidak mengikut ajaran Islam yang menekankan soal persaudaraan dan kesatuan ummah - kali ini Nik Aziz mendakwa bahawa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan beliau dari kerusi MB Kelantan - malah menurut beliau lagi, usaha ini sudah lama berjalan.

Nik Aziz turut mendakwa individu yang ingin menjatuhkan beliau itu bernama Kolonel Mat - dan jika hal ini adalah benar mengapa baru sekarang Nik Aziz dedahkan setelah pelbagai kes menyelubungi beliau dan pentadbirannya?

Apakah ini satu cara untuk mengkambingkan hitamkan orang tertentu dan menutup kelemahan diri sendiri? Isu ini tidak selesai di sini sahaja - sekali lagi Allah uji kesabaran Nik Aziz - namun ternyata Nik Aziz lebih selesa meletakkan dirinya sebagai seorang suci dengan mendoakan pula kehancuran terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkenaan isu royalti minyak untuk Kelantan.

Soalnya, apakah Nik Aziz tidak tahu bahawa kita diwajibkan taat kepada pemerintah sekali pun mereka zalim? Sabda nabi bermaksud, "Akan ada sesudahku para imam atau kepala negara (pemerintah) yang tidak mengikut petunjukku dan tidak menjalani sunnahku.

Dan akan bangun pada mereka laki-laki yang hati mereka adalah hati syaitan dalam tubuh manusia. Kata Huzaifah : Aku bertanya, Bagaimana saya hendak lakukan jika saya menemuinya ya Rasulullah? Rasulullah bersabda, hendaklah engkau mendengar dan taat walaupun ia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Dengar dan taatlah" (Riwayat Muslim).

Sabda nabi lagi, "Para imam yang jahat ialah yang kamu benci mereka dan mereka benci kepada kamu. Kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah ditanya, Ya Rasulullah, bolehkah kami melawan mereka dengan pedang? Baginda menjawab, Tidak! selama mereka mendirikan solat.

Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak sukai daripada pemerintah kamu, maka hendaklah kamu bencikan amalannya dan jangan kamu menarik tangan kamu dari ketaatan" (Riwayat Muslim) dan, "Satu ketika nabi ditanya, Ya Rasulullah, jika kami mempunyai pemerintah-pemerintah yang mengerjakan selain ketaatan kepada Allah, bagaimana? Rasulullah bersabda, Mereka memikul apa-apa yang dibebankan ke atas mereka dan kewajiban kamu adalah apa-apa yang dibebankan ke atas kamu" (Riwayat Bukhari).

Sebenarnya apa-apa yang sedang berlaku ke atas PAS dan Nik Aziz adalah disebabkan oleh tangan-tangan mereka sendiri - dan bukan orang lain. Apabila Allah menyuruh orang beriman agar bersatu-padu, kita degil dan bongkak, kita tunjuk ego dan sombong kepada Allah. Inilah akibatnya.

Apabila UMNO mahu bermuzakarah dengan PAS - mereka tolak dengan pelbagai alasan - sebaliknya dengan musuh Islam seperti DAP- PAS begitu rapat serta menunjukkan kasih sayang, apakah maknya semua ini? Apakah PAS lupa ayat di bawah ini? "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara.

Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. Wahai, orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum mengolok-ngolokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-ngolokkannya.(al-Hujurat ; 10).

Sebelum ini saya sudah meramalkan bahawa selagi PAS menjadikan DAP sebagai kawan rapat dan pembantu mereka untuk menegakkan Islam di Malaysia - maka selagi itulah PAS akan menemui kegagalan.

Dan saya melihat apa-apa yang sedang berlaku kepada Nik Aziz dan PAS pada hari ini merupakan bibit awal kejatuhan parti tersebut yang terang-terang melaungkan Islam, tetapi tidak beramal dengan seluruh perintah yang terkandung di dalam al-Quran.

Allah sudah mengingatkan kita semua melalui firman-Nya di dalam surah al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud, "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang."

Jadi jelaslah selagi PAS menolak ajakan UMNO untuk membentuk kesatuan dan perdamaian - maka selagi itulah PAS akan gagal mengejar cita-citanya. Dan PAS akan tetap gagal sampai bila-bila selagi mereka meninggalkan orang-orang beriman (UMNO) dalam urusan pentadbiran dan politik.

Hal ini sudah dijelaskan oleh Allah di dalam ayat di atas tersebut. Sesungguhnya DAP sama sekali tidak akan berjaya membantu PAS bagi merealisasikan cita-cita Islam parti tersebut. Fikir-fikirkan. Wallahualam.

0 comments: