Wednesday, January 13, 2010

Pastikan Program Juara Rakyat berjaya

PROGRAM Juara Rakyat yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Hulu Selangor kelmarin menjadi bukti bagaimana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah duduk diam apabila mereka menerima tamparan hebat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Walaupun pelbagai andaian dibuat terutama oleh parti pembangkang, namun UMNO dan BN tidak pernah lemah semangat.

Bagi BN, apa yang berlaku adalah teguran rakyat yang harus diterima secara positif dan segala kelemahan perlu diperbaiki.

Oleh itu, di bawah kepimpinan Najib, pelbagai usaha dilakukan bagi membolehkan BN terutama UMNO kembali mendapat tempat di hati rakyat.

Sememangnya itulah langkah terbaik kerana dalam sebuah negara demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat.

Program Juara Rakyat dilihat mampu membolehkan UMNO dan BN mendekati rakyat dan mengetahui keluh kesah mereka. Setiap masalah yang diketengahkan sudah pasti dapat diselesaikan.

Apa yang diharapkan, program ini akan benar-benar berfungsi atau berjalan seperti mana yang dikehendaki oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

Dalam soal ini, tanggungjawab besar terletak kepada bahagian-bahagian UMNO bagi meneruskan program yang dirancang. Mereka tidak boleh bergantung kepada UMNO pusat untuk mengaturkan segala-galanya.

Kita memuji langkah kepimpinan UMNO yang akan memastikan bahagian-bahagian parti itu dipantau oleh Ahli Majlis Tertinggi dan membuat teguran jika mereka gagal melaksanakan Program Juara Rakyat.

Ketegasan itu amat perlu kerana mahu tidak mahu kita harus mengakui bagaimana pada masa ini, boleh dikatakan hampir sebahagian besar bahagian UMNO belum bangun dari mimpi mereka.

Kejutan yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu, seolah-olah tidak menyedarkan mereka betapa UMNO akan kehilangan kuasa pemerintahan jika tidak melakukan sesuatu bagi meraih sokongan rakyat.

Bagaimanapun, bagi membolehkan BN kembali kukuh, tanggungjawab ini bukan terletak kepada UMNO sahaja, malah parti-parti komponen yang lain juga perlu memainkan peranan mereka.

Janganlah ketika UMNO sudah mengorak langkah bagi meraih kembali sokongan rakyat, parti-parti berkenaan masih bergelut dengan masalah dalaman.

Konflik yang berlaku harus ditamatkan segera dan seruan bagi melaksanakan Program Juara Rakyat perlu dilaksanakan segera.

Adalah dicadangkan agar dalam sesetengah Program Juara Rakyat, semua parti komponen berada dalam satu barisan bagi melaksanakan aktiviti yang bertujuan mendekati rakyat.

Melalui cara ini, ia sudah pasti akan mampu mengenepikan sebarang persepsi apatah lagi tuduhan parti pembangkang bahawa UMNO cuba meminggirkan parti komponen BN yang lain, apabila dilihat bersendirian melaksanakan Program Juara Rakyat.

Apa pun yang pasti, Program Juara Rakyat menjadi bukti bahawa memberikan kesejahteraan kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan kepada UMNO dan BN.

Semoga program ini akan mampu menyakinkan rakyat bahawa hanya BN yang paling layak membela nasib rakyat.

Sumber: Utusan Malaysia Online

0 comments: